Thursday, February 19, 2009

ceritera pandak ; NASUHA


NASUHA
Oleh Mohamad Zaki Abdul Halim


HIDUP ini umpama puing-puing. Terbang di awangan. Merela diri ditiup angin. Logikanya, ia tiada berparuh, tidak bersayap untuk menghala arah sendiri. Maka melarut ia dalam dingin dan panas udara langsung menjadi debu mengelilingi perjalanan sebuah kehidupan. Halus tetapi sejauh mana mulusnya. Kudus yang belum menjamin ketulusannya. Hanya hati yang cakna dan tersentuh dapat menterjemahkannya. Jalanan ini bukan hanya meniti dunia, malah alam abadi menjadi sandaran agama. Apa yang dilakar ketika ini, akan diwarnai pada waktu kemuncak cinta-Nya. Hitam putih wajah kita akan disinari syafaat dan iradat-Nya. Namun, masih menjadi tanda tanya, apa harus dibiarkan hidup ini di hembus bayu? Atau lebih molek menjadi lalang yang lentok nasib hidupnya ditentukan pawana?

Hidup ini terlalu objektif. Mengenal pahala dan dosa. Kadang kala menjadi subjektif, ada harus dan makhruh selain haram halalnya. Itu cuma suatu rukhsah dan kelonggaran yang memungkinkan manusia menjadi lalai, abai, cuai dan longlai. Tetapi, hanya iman yang ghaib itu sebagai imam dan radar petunjuk jalan. Ianya adalah sandaran yang teguh bila i’tikad;lafaz;kerja-buat menjadi satu. Di sinilah istiqamah itu perlu menerobos segala gejala yang menjadi krisis kehidupan. Ia harus menjadi pendinding yang memahatkan kekuatan hati. Mengemudi luan nafsu yang tiada tepian tika ombak kejahatan mula bergelombang - memukul persisir yang mudah hanyut dibawa deras. Benteng inilah bisa meredakan gejolak batin yang tak sudah-sudah meluap. Maka nafsu itu harus dipandu dengan hemah agar senantiasa berada pada saf yang hakiki. Melawannya adalah satu peras ugut emosi. Penentuan kalah mati kehidupan. Inilah satu perjalanan merentas hakikat perasaan. Menyedari hakikat hidup yang fana ini, terdetik di celah sanubari hati Danny bahawa harus ada garis penamat dalam kesongsangan hidupnya. Noktah segala kejahilan yang perlu diakhiri dengan sejuta penyesalan. Kesal yang benar-benar sesal.



*************************************************************************
Roh jahat itu menyisip masuk lalu memandu akal dan nafsunya untuk berentap di ranjang jahanam. Jahanamnya sebuah malam yang menjadi tanda tanya akan keikhlasan hati seorang lelaki bernama suami. Dayus dia bila mana tewas pada saat malam senggama pertama. Kalah sebagai seorang lelaki dan jantan sejati.
**************************************************************************

Salam cinta memutik semekar mawar berduri. Menguntum senyum seceria warna kelopaknya. Dalam keadaan bugar, aku menarik nafasku. Rebana jantung ini semakin kuat bergendang. Berdemtum bak guruh menyabung. Wajahnya yang menjadi dambaanku selama ini membuatkan aku mula gelisah. Dalam naik turun nafas, kujunjung namanya. Sempurna seperti yang diimpikan. Lengkap sebagaimana yang dimimpi. Segalanya terserlah ghairah dari setiap segi-segi dan di celah-celah sudut tubuhnya.


Aku mula menyoal akan kekuatan batinku. “Mampukah aku menguasai permainan ini? Dan bisakah aku menewaskannya dalam dendam amarahku, atau aku yang tewas dek kehebatan caturannya?” Aku bermonolog sendiri sambil membalas senyumnya dan tertib menghulur jabat.

Lalu, dalam renyai hujan itu kami berlalu meninggalkan tempat jejak pertama perkenalan dan pertemuan. Melangkah ke pentas bangsawan untuk bertarung kekuatan batin yang dirasakan mesti dinikmati sepuasnya. Hujan masih renyai di luar. Seolah menghamparkan suasana manja untuk kami. Dingin dinihari tak terasa lagi. Seluruh tubuh mula panas menghaba. Geletar lututku tika jari-jemari mula menjalar mencari titik permulaan sebuah drama cinta. Malam ini milik aku, ‘dia’ dan kami. Ranjang ini terhias indah untuk sebuah kenikmatan yang menyatukan jiwa menjadi tunggal. Kamar ini merah kekuningan menghamburkan cahaya romantis untuk sebuah kemesraan. Alunan balada cinta sayup menusuk cuping telinga. Segalanya tersedia untuk sebuah pengalaman pertama dan terakhir dalam sejarah hidup aku sebagai lelaki, suami dan …dot…dot…dot…


Panas nafasnya membius seribu kedinginan suasana. Dapatku rasa mesranya belaian manja sebuah cinta. Dinginnya getaran asmara dan sentuhan mula bermakna. Permainan ini aku mulai dengan semangat keghairahan yang sungguh teruja. Kukucup mesra dahinya sambil ciuman itu melata ke hujung daun telinganya lalu kutahmidkan ayat-ayat cinta, “tiada lagi cinta selain dirimu, kau yang terakhir kucintai”. Kata-kata itu membuat darah perawannya berderau dan membuah sekuntum senyum dari nipis bibir yang mengiurkan. Raksa merah yang mengalir dalam jasadku makin kencang berlari. Lebih laju dari biasa, bergerak pantas dari hujung kaki ke hujung kepala.

Maka, hujan yang masih renyai sebentar tadi mulai lebat menyimbah ke bumi tika jam di dinding sudah tepat jam 2.46 minit pagi. Asmaradana dua tubuh menjadi satu dan mula memberontak wataknya. Jika dalam perjalanan sebuah cerita, inilah masanya konflik mewarnai cerita itu. Dan, dalam permainan ini, ia adalah sebuah pengembaraan yang ketika ini baru memulakan langkah kembaranya. Dalam kesesakan nafas yang bergelombang, aku masih sempat berdialog sendiri. “Inilah yang aku cari, dan cukuplah ‘sekali ini’ dan setakat ini”. Namun kuyu matanya menjiwai watak pada malam itu mematikan monologku. Yang bertambah yakinnya, aku harus berani menamatkan sebuah cerita yang tak berkronologi ini. Aku, ‘dia’ dan kami makin hanyut. Membelai, membuai, dan menyemai benih kecelakaan di ranjang serakah. Membiarkan nafsu buas mengaum.

Dayungan cinta sudah jauh ke tengah segara. Di sinilah mula tampak dalam samar-samar sebuah pulau destinasi aku dan ‘dia’. Makin deras kocakan ombak semakin memercik keringat tubuh. Masih lagi bertahan menongkah arus yang datang menggulung. Kepuasan ini hanya tercapai pabila sampai ke destinasi yang dicita. Celakanya, ku sangka panas hinggga ke petang rupanya hujan di tengah hari. “Danny…Danny…Danny…”, ada suara yang menyapaku. Malaikat mana yang berani memanggil namaku di saat-saat genting menamatkan percaturan sebuah permainan kalah mati emosi. “Hentikannya Danny! Sudah sampai di sini, istighfar Danny……istighfar..” Zikir siapa yang menyanyikan nama aku? Yang berani meyuruhku memaling belakang mengenang dosa semalam? Lalu, tewas aku dek tersentap sapaan itu. Kalah aku sebelum sampai ke puncak sebuah cerita yang konfliknya tergantung. Mati. Layu pucuk nafsu yang sebentar tadi dipandu keghairahan yang menggila. Membabi buta menyondol mangsa tanpa rasa bersalah melawan fitrah ! Aku tewas dalam pergolakan sandiwara ini.

“Berdosakah aku?”. “Apa itu sebuah kezaliman cinta?”. Detik hatiku.
“Astaghfirullah..”, mengucapku panjang dalam indah istighfar. Dengan tiba-tiba aku sedar dari kegelapan semalam. Rupanya terpalit dosa di sebalik indah cahaya merah kuning lampu kamar. Aku mula sedar, mulai tersentuh dengan sapaan suara ghaib yang bertasbih menyebut namaku.
“Ya Allah, apakah taubat aku diterima-Mu selama ini?”
“Ya Rabbi, berdosakah aku dalam permainan ini?”
“Mengapa ini terjadi?” Getar suara jiwa kacauku.

Berzina aku tanpa disedari. Berselingkuh dalam kekalutan identiti. Bercelaru. Mana tak kelirunya, malam pertama yang harus aku layari bersama seorang wanita bergelar isteri, hancur dek roh iblis menguasai diri. ‘Dia’ datang lagi. Tapi mengapa malam ini? Mengapa roh jahatnya itu menghantui jasad ini, sedangkan bukan hanya ‘dia’ yang pernah aku layani. Lebih dan banyak lagi yang pernah menemani malam-malam durjanaku. Yang pernah membaluti tubuhku dalam selimut haram itu. Ketika ini, persoalan demi persoalan membelenggu akal dan fikiranku. Di dasar tasik hatiku ini sudah bercelaru. Hatiku dirobek keresahan yang menggerutu. Hanya pada Allah yang maha berkuasa aku bercerita. Hanya Allah tuhan empunya dunia yang memahami segala rahsia. Dalam culang caling kegelisahan dan rasa berdosa itu, bayangan ‘dia’ mengekoriku sentiasa. “Mengapa kau juga yang kurindu, walau sudahku tahu payah bersatu hidup denganmu?” Soalku, kecewa dan hampa. “Aku pun tidak tahu, apa yang ingin Tuhan tunjukkan? Adakah ini dugaan-Nya?” Ngomel aku lagi dalam seribu keliru.

Tatkala itu, ‘dia’ masih terkujur lali dalam mamai yang gemalai. Entah dia merasai ejakulasi sebuah permainan ‘terlarang’ ini? Sedangkan aku terkaku murung di sudut ranjang yang sudah diwarnai hitam dosa semalam. Jauh di sudut kepala katil, kujur tubuh itu mula duduk tercongok kebingungan. Tubuh yang berbalut gebar asmara malam pertama. Tubuh yang telah dimamah nafsu syaitan sang suami. Tubuh yang menggigil dalam sedu sedan tangisan. Raut wajahnya pula penuh tanda tanya mencari jawapan dalam kegelapan hati. Aku dapat meramal apa yang terlintas di benak akalnya. Mungkin ‘dia’ sedang menghitung senja merah di hujung sinar yang mencipta kebeningan rahsia.

Dan, dalam saat gila ini, aku cuba menghimpun kenangan dan menyimpul satu makna. Pantas aku bertanya, “haruskah aku mencari pada gunung dan lurah akan liku-liku curang insani?” “Apakah jawapan yang akan ku berikan pada sebuah wajah yang sedang lara kesepian?” Ketika itu, wajah yang tercongok tadi mula merah menyala melepaskan titis demi titis mutiara embun dari lebam kelopak matanya. Kesal dia hanya kerana aku kalah di pertengahan jalan. Kecewa dia kerana aku menamatkan mainan ini tanpa noktah yang jelas. Tapi, dia juga perlu tahu aku juga merasai semua itu. Aku lelaki. Lebih merasainya. Masakan tidak, dalam pelayaran itu, dayungku patah dan kemudiku pecah. Karam sebuah kolek ditengah luas lautan asmara. Bukan kerana lemah tapi kerana kencang angin yang menyedarkan aku bahawa perjalanan ini wajib dihentikan. Pengembaraan ini perlu ditamatkan.

Aku rapat mendapatkannya, tapi, tak bisa menyentuhnya. Terasa jijik diri ini untuk makhluk semulia ‘dia’. Daki-daki kenangan dulu perlu disamak kembali setelah cucian sebelum ini masih ada bau, rasa dan warna. ‘Dia’ cuba memelukku dalam keadaan mahu mengucap sesuatu. Tidak pantas aku membiarkan jasad yang berdiri atas roh iblis ini dipeluki seorang yang suci. Seorang wanita yang tiada dosa denganku. Jika kesedudukan kami pada malam ini adalah satu pencabulan hukum halal, maka haramnya adalah bagiku. Dosa itu aku tanggung dan tidak sekali-kali mahu sedikitpun terpalit di bahunya.

Lantas, aku bangun mendapatkan satu sudut yang menjauhinya. Aku menghayati tiap tutur bicaranya yang tersekat dalam keharuan tangisan. Kata-kata yang tidak perlu diucapkan. Ayat-ayat yang tidak seharusnya dilafazkan. Aku sedih. Aku telah menganiayai sekeping hati yang halus, tulus, mulus dan kudus. “Abang, sayang minta maaf kalau sayang tidak dapat melayani abang. Maafkan Suha jika isterimu ini tidak sesempurna yang abang mahukan”, luah sang isteri dengan rasa bersalah yang teramat. “Ini sahaja yang dapat Suha berikan pada abang sebagai tanggungjawab pertama yang harus dipenuhi dari seorang isteri pada suaminya”, kecewa lagi nadanya.

Aku lelaki. Aku harus berani mengungkap kebenaran ini. tidak ada waktu untuk berselindung lagi. Jangan biarkan isteriku, Suha, terus menghukum dirinya, walhal tidak ada salah dia padaku. Dia perlu tahu, dia sempurna melayaniku. Tetapi yang kalah, tewas dan tersungkur dalam permainan itu adalah aku. Aku hilang kawalan akal yang rasional. Nafsuku memberontak dalam keganasan perilaku roh iblisku. Inilah yang aku perlu terangkan padanya. Untuk itu, aku mesti berani hadapi sebuah kenyataan yang memeritkan. Ini rahsia aku, ‘dia’ dan dot…dot…dot…

Terbongkarlah malam itu, sebuah sejarah hitam yang kesannya membunuh jiwa tidak berdosa. Kisah lelaki yang pernah berazam bertaubat dan akhirnya berjaya menjadi pahlawan jihad. Menafikan naluri telarangnya saat cinta pada wanita bernama Suha bertasbih dan tika lafaz akad menghalalkan mereka bersama. Namun, malam pertama bersama wanitanya, barulah tampak kebenaran dan keikhlasan taubatan nasuhanya itu. Terungkaplah kisah Danny, seorang lelaki yang sempurna di mata wanita. Bidang tubuhnya gagah melambangkan kejantanan teruna. Palitan hitam sejarah lalu mewarnai hidupnya yang songsang melayani buakan nafsu. Tanpa kenal jantan betina asal puas memuntah rasa. Tidak pernah ingat dosa apatah lagi membayangkan neraka. Hidup hanya sekali, nikmati sepenuhnya selagi ada kesempatan. Itulah falsafah hidup seorang lelaki yang jiwanya berperang mencari identiti diri. Setelah kecewa dengan kefanaan cinta sejenis dan terhina itu, setelah tiada lagi nikmat dan hambar dalam setiap percaturan luar tabi’i, setelah hilang rasa puas dalam diri, maka dia berazam kembali menemui Ilahi. Seingatnya, kali terakhir sebelum dia mencuci daki-daki kisah lalu serta debu-debu perjalanan itu, dia menemui ‘semangat’ yang benar-benar hidup dalam jiwanya hinggakan roh itu menguasai diri tatkala berjimak dengan isteri. Roh sebuah permainan terakhir dahulu. Roh seorang jantan dayus dan ‘hilang anu’. Roh yang mencemari malam halal menjadi haram dengan dosa dahulu….

5 comments:

Anonymous said...

jln citer yg best!..
i suker perkataan2 yg digunakan. jarang digunakan penulis2 baru..
syabas!!

Anonymous said...

nice stories....good job,,,,
penggunaan byk perkataan yang hiperbola n sadis membuatkan stories ni unik than other stories hav a read,,,

Anonymous said...

will be the next sasterawan negara... salam perjuangan.. daulatkan bahasa melayu kembali..
-pro-m utm-

aman damai said...

syabas, jln cter cukup menarik. bsa membuka mata sang pembaca. mungkin boleh dbuat lagu n syair juga.

all the bez. keep it up ok...

Anonymous said...

jlan cter yg sgt menarik..myentuh hti stiap insan yg menghyati stiap bait kata yg tcatat di dlmnya..cter yg xlari dri khidupan relaiti manusia..truskn mnjadi pmbongkar cerita dlm dunia bahasamu...:)