Thursday, February 26, 2009

Dua isu "terpencil" Kolej 10 UM dapat reaksi dua perwakilan MPM

zakiUniv.Malaya 25 Feb. 8.38am | Beberapa isu terpencil berhubung kebajikan mahasiswa di Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi, mendorong dua ahli perwakilan MPMUM Sdr. Mohamad Hafiz Ilyas dan Mohd Zaki Abdul Halim bertemu pihak berwajib di sini kelmarin untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Isunya denda RM1 setiap siswa jika ada polistren di aras masing-masing. Satu lagi,isu pemotongan perkhidmatan internet. Walaupun ia isu terpencil, namun wajib dibela demi kebajikan mahasiswa,” jelas Sdr. Mohamad Zaki Abdul Halim.

Beliau juga menyifatkan kedua-dua masalah terpencil ini membebankan mahasiswa kolej tersebut.

Tambahnya lagi, dilaporkan mahasiswa di sini tidak mempunyai pilihan kecuali terpaksa mengikut peraturan dan pekeliling yang membebankan.

Beliau juga menyatakan komitmen bersama untuk turun memperjuangkan isu terpencil tersebut sekiranya tiada apa-apa tindakan lanjut oleh pihak berwajib.

Saya dapat makluman bahawa permohonan disambung semula perkhidmatan internet di sini telahpun diusulkan kepada pentadbiran kolej. Kita melihat inisiatif JTK patut disokong semua pihak dan kita (MPMUM) tidak teragak-agak untuk campur tangan sekiranya permohonan (JTK) tersebut tidak dilayan, jelas Mohamad Zaki Abdul Halim.

Kata Zaki lagi, segelintir mahasiswa di sini telahpun merancang untuk membuat bantahan sebelum ini, namun berjaya dibendung oleh pihak tertentu di peringkat kolej kediaman.

isu10thSdr. Hafiz Ilyas pula menyatakan niat asal untuk mencegah penggunaan polisterin sangatlah baik demi mewujudkan suasana yang kondusif, tetapi pendekatan yang dipraktikkan membebankan mahasiswa.

Dalam pertemuan lebih satu jam dengan Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) Kolej Kediaman Kesepuluh di sini, Presidennya Sdr. Nur Diyana Sallehuddin memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyelesaikan kedua-dua masalah terpencil tersebut.

Sdr. Mohd Hafiz Ilyas merupakan Naib YDP 1 Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) yang telah mendapat undi tertinggi dalam pilihanraya kampus baru-baru ini; manakala Sdr. Mohamad Zaki Bin Abdul Halim merupakan Exco Kebajikan & Aduan MPMUM.

Kedua-dua Ahli Perwakilan MPMUM tersebut mengulangi tekad dan harapan agar kedua-dua isu terpencil tersebut dapat ditangani bersama demi kebajikan hak mahasiswa. -mahasiswakini

Thursday, February 19, 2009

ceritera pandak ; NASUHA


NASUHA
Oleh Mohamad Zaki Abdul Halim


HIDUP ini umpama puing-puing. Terbang di awangan. Merela diri ditiup angin. Logikanya, ia tiada berparuh, tidak bersayap untuk menghala arah sendiri. Maka melarut ia dalam dingin dan panas udara langsung menjadi debu mengelilingi perjalanan sebuah kehidupan. Halus tetapi sejauh mana mulusnya. Kudus yang belum menjamin ketulusannya. Hanya hati yang cakna dan tersentuh dapat menterjemahkannya. Jalanan ini bukan hanya meniti dunia, malah alam abadi menjadi sandaran agama. Apa yang dilakar ketika ini, akan diwarnai pada waktu kemuncak cinta-Nya. Hitam putih wajah kita akan disinari syafaat dan iradat-Nya. Namun, masih menjadi tanda tanya, apa harus dibiarkan hidup ini di hembus bayu? Atau lebih molek menjadi lalang yang lentok nasib hidupnya ditentukan pawana?

Hidup ini terlalu objektif. Mengenal pahala dan dosa. Kadang kala menjadi subjektif, ada harus dan makhruh selain haram halalnya. Itu cuma suatu rukhsah dan kelonggaran yang memungkinkan manusia menjadi lalai, abai, cuai dan longlai. Tetapi, hanya iman yang ghaib itu sebagai imam dan radar petunjuk jalan. Ianya adalah sandaran yang teguh bila i’tikad;lafaz;kerja-buat menjadi satu. Di sinilah istiqamah itu perlu menerobos segala gejala yang menjadi krisis kehidupan. Ia harus menjadi pendinding yang memahatkan kekuatan hati. Mengemudi luan nafsu yang tiada tepian tika ombak kejahatan mula bergelombang - memukul persisir yang mudah hanyut dibawa deras. Benteng inilah bisa meredakan gejolak batin yang tak sudah-sudah meluap. Maka nafsu itu harus dipandu dengan hemah agar senantiasa berada pada saf yang hakiki. Melawannya adalah satu peras ugut emosi. Penentuan kalah mati kehidupan. Inilah satu perjalanan merentas hakikat perasaan. Menyedari hakikat hidup yang fana ini, terdetik di celah sanubari hati Danny bahawa harus ada garis penamat dalam kesongsangan hidupnya. Noktah segala kejahilan yang perlu diakhiri dengan sejuta penyesalan. Kesal yang benar-benar sesal.



*************************************************************************
Roh jahat itu menyisip masuk lalu memandu akal dan nafsunya untuk berentap di ranjang jahanam. Jahanamnya sebuah malam yang menjadi tanda tanya akan keikhlasan hati seorang lelaki bernama suami. Dayus dia bila mana tewas pada saat malam senggama pertama. Kalah sebagai seorang lelaki dan jantan sejati.
**************************************************************************

Salam cinta memutik semekar mawar berduri. Menguntum senyum seceria warna kelopaknya. Dalam keadaan bugar, aku menarik nafasku. Rebana jantung ini semakin kuat bergendang. Berdemtum bak guruh menyabung. Wajahnya yang menjadi dambaanku selama ini membuatkan aku mula gelisah. Dalam naik turun nafas, kujunjung namanya. Sempurna seperti yang diimpikan. Lengkap sebagaimana yang dimimpi. Segalanya terserlah ghairah dari setiap segi-segi dan di celah-celah sudut tubuhnya.


Aku mula menyoal akan kekuatan batinku. “Mampukah aku menguasai permainan ini? Dan bisakah aku menewaskannya dalam dendam amarahku, atau aku yang tewas dek kehebatan caturannya?” Aku bermonolog sendiri sambil membalas senyumnya dan tertib menghulur jabat.

Lalu, dalam renyai hujan itu kami berlalu meninggalkan tempat jejak pertama perkenalan dan pertemuan. Melangkah ke pentas bangsawan untuk bertarung kekuatan batin yang dirasakan mesti dinikmati sepuasnya. Hujan masih renyai di luar. Seolah menghamparkan suasana manja untuk kami. Dingin dinihari tak terasa lagi. Seluruh tubuh mula panas menghaba. Geletar lututku tika jari-jemari mula menjalar mencari titik permulaan sebuah drama cinta. Malam ini milik aku, ‘dia’ dan kami. Ranjang ini terhias indah untuk sebuah kenikmatan yang menyatukan jiwa menjadi tunggal. Kamar ini merah kekuningan menghamburkan cahaya romantis untuk sebuah kemesraan. Alunan balada cinta sayup menusuk cuping telinga. Segalanya tersedia untuk sebuah pengalaman pertama dan terakhir dalam sejarah hidup aku sebagai lelaki, suami dan …dot…dot…dot…


Panas nafasnya membius seribu kedinginan suasana. Dapatku rasa mesranya belaian manja sebuah cinta. Dinginnya getaran asmara dan sentuhan mula bermakna. Permainan ini aku mulai dengan semangat keghairahan yang sungguh teruja. Kukucup mesra dahinya sambil ciuman itu melata ke hujung daun telinganya lalu kutahmidkan ayat-ayat cinta, “tiada lagi cinta selain dirimu, kau yang terakhir kucintai”. Kata-kata itu membuat darah perawannya berderau dan membuah sekuntum senyum dari nipis bibir yang mengiurkan. Raksa merah yang mengalir dalam jasadku makin kencang berlari. Lebih laju dari biasa, bergerak pantas dari hujung kaki ke hujung kepala.

Maka, hujan yang masih renyai sebentar tadi mulai lebat menyimbah ke bumi tika jam di dinding sudah tepat jam 2.46 minit pagi. Asmaradana dua tubuh menjadi satu dan mula memberontak wataknya. Jika dalam perjalanan sebuah cerita, inilah masanya konflik mewarnai cerita itu. Dan, dalam permainan ini, ia adalah sebuah pengembaraan yang ketika ini baru memulakan langkah kembaranya. Dalam kesesakan nafas yang bergelombang, aku masih sempat berdialog sendiri. “Inilah yang aku cari, dan cukuplah ‘sekali ini’ dan setakat ini”. Namun kuyu matanya menjiwai watak pada malam itu mematikan monologku. Yang bertambah yakinnya, aku harus berani menamatkan sebuah cerita yang tak berkronologi ini. Aku, ‘dia’ dan kami makin hanyut. Membelai, membuai, dan menyemai benih kecelakaan di ranjang serakah. Membiarkan nafsu buas mengaum.

Dayungan cinta sudah jauh ke tengah segara. Di sinilah mula tampak dalam samar-samar sebuah pulau destinasi aku dan ‘dia’. Makin deras kocakan ombak semakin memercik keringat tubuh. Masih lagi bertahan menongkah arus yang datang menggulung. Kepuasan ini hanya tercapai pabila sampai ke destinasi yang dicita. Celakanya, ku sangka panas hinggga ke petang rupanya hujan di tengah hari. “Danny…Danny…Danny…”, ada suara yang menyapaku. Malaikat mana yang berani memanggil namaku di saat-saat genting menamatkan percaturan sebuah permainan kalah mati emosi. “Hentikannya Danny! Sudah sampai di sini, istighfar Danny……istighfar..” Zikir siapa yang menyanyikan nama aku? Yang berani meyuruhku memaling belakang mengenang dosa semalam? Lalu, tewas aku dek tersentap sapaan itu. Kalah aku sebelum sampai ke puncak sebuah cerita yang konfliknya tergantung. Mati. Layu pucuk nafsu yang sebentar tadi dipandu keghairahan yang menggila. Membabi buta menyondol mangsa tanpa rasa bersalah melawan fitrah ! Aku tewas dalam pergolakan sandiwara ini.

“Berdosakah aku?”. “Apa itu sebuah kezaliman cinta?”. Detik hatiku.
“Astaghfirullah..”, mengucapku panjang dalam indah istighfar. Dengan tiba-tiba aku sedar dari kegelapan semalam. Rupanya terpalit dosa di sebalik indah cahaya merah kuning lampu kamar. Aku mula sedar, mulai tersentuh dengan sapaan suara ghaib yang bertasbih menyebut namaku.
“Ya Allah, apakah taubat aku diterima-Mu selama ini?”
“Ya Rabbi, berdosakah aku dalam permainan ini?”
“Mengapa ini terjadi?” Getar suara jiwa kacauku.

Berzina aku tanpa disedari. Berselingkuh dalam kekalutan identiti. Bercelaru. Mana tak kelirunya, malam pertama yang harus aku layari bersama seorang wanita bergelar isteri, hancur dek roh iblis menguasai diri. ‘Dia’ datang lagi. Tapi mengapa malam ini? Mengapa roh jahatnya itu menghantui jasad ini, sedangkan bukan hanya ‘dia’ yang pernah aku layani. Lebih dan banyak lagi yang pernah menemani malam-malam durjanaku. Yang pernah membaluti tubuhku dalam selimut haram itu. Ketika ini, persoalan demi persoalan membelenggu akal dan fikiranku. Di dasar tasik hatiku ini sudah bercelaru. Hatiku dirobek keresahan yang menggerutu. Hanya pada Allah yang maha berkuasa aku bercerita. Hanya Allah tuhan empunya dunia yang memahami segala rahsia. Dalam culang caling kegelisahan dan rasa berdosa itu, bayangan ‘dia’ mengekoriku sentiasa. “Mengapa kau juga yang kurindu, walau sudahku tahu payah bersatu hidup denganmu?” Soalku, kecewa dan hampa. “Aku pun tidak tahu, apa yang ingin Tuhan tunjukkan? Adakah ini dugaan-Nya?” Ngomel aku lagi dalam seribu keliru.

Tatkala itu, ‘dia’ masih terkujur lali dalam mamai yang gemalai. Entah dia merasai ejakulasi sebuah permainan ‘terlarang’ ini? Sedangkan aku terkaku murung di sudut ranjang yang sudah diwarnai hitam dosa semalam. Jauh di sudut kepala katil, kujur tubuh itu mula duduk tercongok kebingungan. Tubuh yang berbalut gebar asmara malam pertama. Tubuh yang telah dimamah nafsu syaitan sang suami. Tubuh yang menggigil dalam sedu sedan tangisan. Raut wajahnya pula penuh tanda tanya mencari jawapan dalam kegelapan hati. Aku dapat meramal apa yang terlintas di benak akalnya. Mungkin ‘dia’ sedang menghitung senja merah di hujung sinar yang mencipta kebeningan rahsia.

Dan, dalam saat gila ini, aku cuba menghimpun kenangan dan menyimpul satu makna. Pantas aku bertanya, “haruskah aku mencari pada gunung dan lurah akan liku-liku curang insani?” “Apakah jawapan yang akan ku berikan pada sebuah wajah yang sedang lara kesepian?” Ketika itu, wajah yang tercongok tadi mula merah menyala melepaskan titis demi titis mutiara embun dari lebam kelopak matanya. Kesal dia hanya kerana aku kalah di pertengahan jalan. Kecewa dia kerana aku menamatkan mainan ini tanpa noktah yang jelas. Tapi, dia juga perlu tahu aku juga merasai semua itu. Aku lelaki. Lebih merasainya. Masakan tidak, dalam pelayaran itu, dayungku patah dan kemudiku pecah. Karam sebuah kolek ditengah luas lautan asmara. Bukan kerana lemah tapi kerana kencang angin yang menyedarkan aku bahawa perjalanan ini wajib dihentikan. Pengembaraan ini perlu ditamatkan.

Aku rapat mendapatkannya, tapi, tak bisa menyentuhnya. Terasa jijik diri ini untuk makhluk semulia ‘dia’. Daki-daki kenangan dulu perlu disamak kembali setelah cucian sebelum ini masih ada bau, rasa dan warna. ‘Dia’ cuba memelukku dalam keadaan mahu mengucap sesuatu. Tidak pantas aku membiarkan jasad yang berdiri atas roh iblis ini dipeluki seorang yang suci. Seorang wanita yang tiada dosa denganku. Jika kesedudukan kami pada malam ini adalah satu pencabulan hukum halal, maka haramnya adalah bagiku. Dosa itu aku tanggung dan tidak sekali-kali mahu sedikitpun terpalit di bahunya.

Lantas, aku bangun mendapatkan satu sudut yang menjauhinya. Aku menghayati tiap tutur bicaranya yang tersekat dalam keharuan tangisan. Kata-kata yang tidak perlu diucapkan. Ayat-ayat yang tidak seharusnya dilafazkan. Aku sedih. Aku telah menganiayai sekeping hati yang halus, tulus, mulus dan kudus. “Abang, sayang minta maaf kalau sayang tidak dapat melayani abang. Maafkan Suha jika isterimu ini tidak sesempurna yang abang mahukan”, luah sang isteri dengan rasa bersalah yang teramat. “Ini sahaja yang dapat Suha berikan pada abang sebagai tanggungjawab pertama yang harus dipenuhi dari seorang isteri pada suaminya”, kecewa lagi nadanya.

Aku lelaki. Aku harus berani mengungkap kebenaran ini. tidak ada waktu untuk berselindung lagi. Jangan biarkan isteriku, Suha, terus menghukum dirinya, walhal tidak ada salah dia padaku. Dia perlu tahu, dia sempurna melayaniku. Tetapi yang kalah, tewas dan tersungkur dalam permainan itu adalah aku. Aku hilang kawalan akal yang rasional. Nafsuku memberontak dalam keganasan perilaku roh iblisku. Inilah yang aku perlu terangkan padanya. Untuk itu, aku mesti berani hadapi sebuah kenyataan yang memeritkan. Ini rahsia aku, ‘dia’ dan dot…dot…dot…

Terbongkarlah malam itu, sebuah sejarah hitam yang kesannya membunuh jiwa tidak berdosa. Kisah lelaki yang pernah berazam bertaubat dan akhirnya berjaya menjadi pahlawan jihad. Menafikan naluri telarangnya saat cinta pada wanita bernama Suha bertasbih dan tika lafaz akad menghalalkan mereka bersama. Namun, malam pertama bersama wanitanya, barulah tampak kebenaran dan keikhlasan taubatan nasuhanya itu. Terungkaplah kisah Danny, seorang lelaki yang sempurna di mata wanita. Bidang tubuhnya gagah melambangkan kejantanan teruna. Palitan hitam sejarah lalu mewarnai hidupnya yang songsang melayani buakan nafsu. Tanpa kenal jantan betina asal puas memuntah rasa. Tidak pernah ingat dosa apatah lagi membayangkan neraka. Hidup hanya sekali, nikmati sepenuhnya selagi ada kesempatan. Itulah falsafah hidup seorang lelaki yang jiwanya berperang mencari identiti diri. Setelah kecewa dengan kefanaan cinta sejenis dan terhina itu, setelah tiada lagi nikmat dan hambar dalam setiap percaturan luar tabi’i, setelah hilang rasa puas dalam diri, maka dia berazam kembali menemui Ilahi. Seingatnya, kali terakhir sebelum dia mencuci daki-daki kisah lalu serta debu-debu perjalanan itu, dia menemui ‘semangat’ yang benar-benar hidup dalam jiwanya hinggakan roh itu menguasai diri tatkala berjimak dengan isteri. Roh sebuah permainan terakhir dahulu. Roh seorang jantan dayus dan ‘hilang anu’. Roh yang mencemari malam halal menjadi haram dengan dosa dahulu….

Friday, February 6, 2009

Watikah Perlantikan MPMUM Berjalan Lancar

Kuala Lumpur, 5 Feb - Mahasiswa membanjiri Auditorium Komplek Perdana Siswa (KPS) bagi menyaksikan acara gilang-gemilang Majlis Watikah Perlantikan Majlis Perwakilan Mahasiswa(MPMUM) Sesi 2008/2009 malam tadi.

Acara yang dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Dato Dr. Gauth Jasmon dihadiri oleh sebahagian besarnya barisan penyokong Pro Mahasiswa disamping Pengetua-pengetua kolej, Presiden Kolej-Kolej Kediaman, Pimpinan-pimpinan front mahasiswa dan mantan MPMUM Sesi 2007/2008.

SDC14977Naib Canselor dalam ucapannya menaruh harapan tinggi kepada barisan pimpinan mahasiswa yang baru dilantik agar bersama-sama memajukan Universiti Malaya selaras dengan wawasan universiti tersebut membuat perubahan dan fokus utama sebagai peneraju kepada penyelidikan dan inovasi.

Di samping itu, beliau berpesan kepada seluruh kabinet MPMUM agar tidak leka dengan tanggungjawab sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada pelajaran.

Majlis seterusnya diakhiri dengan pemberian watikah dari Naib Canselor kepada semua ahli cabinet MPMUM dan pemberian fail pengurusan MPMUM sesi 2007/2008 sebagai simbol pemberian mandat kepada kepimpinan baru.

Berikut merupakan Kabinet MPMUM Sesi 2008/2009

Yang Dipertua Mohd Ridzuan bin Mohammad

Naib Yang Dipertua Chong Yah Huei

Timbalan Naib Yang Dipertua 1 Mohamad Hafiz bin Ilyas

Timbalan Naib Yang Dipertua 2 Yap Zhen Jun

Setiausaha Shah Rizul Ayuni binti Zulkiply

Timbalan Setiausaha 1 Nurul Fitrah binti Mohd Ariffin Marican

Timbalan Setiausaha 2 Low Yu Jie

Bendahari Benjamin Ong Jia Ming

Timbalan Bendahari 1 Ahmad Syazwan Muhammad Hassan

Timbalan Bendahari 2 Kokilavani A/P Sanmugam


Biro

Akademik dan Penyelidikan

Muhammad Khiratti bin Mat Zainal (Pengerusi)

Yeoh Onn Take

Amos Aw Teik Onn


Penerbitan dan Penerangan

Norzilah Jailani (Pengerusi)

Bong Kim Kien

Yau Chun Hou


Kepimpinan Kerohanian dan Pembangunan Insan

Mohd Aizat Mohd Salleh (Pengerusi)

Tan LEan Choon

Mohd Taufiq bin Sujangi


Hal Ehwal Wanita

Maryam Muneerah binti Ahmad (Pengerusi)

Nurul Jannah bte Ismail

Nor Hidayah binti Haji Nor Hassan


Ekonomi, Keusahawanan dan Kerjaya

Lee Keang Kiet (Pengerusi)

Masaida binti Mohamed Sulaiman

Muhamad Afiq bin Zaini Alamar


Perpaduan dan Kemasyarakatan

Timothy Cheng Tsin Jien (Pengerusi)

Burhanuddin Hilmi bin Mophamad Khalid

Evaely Sabet Saribu Raja


Sukan, Kesenian dan Kebudayaan

Nurul Falina binti Azizan (Pengerusi)

Mohamed Nashrudin bin Naharudin

Ng Boon Kwang


Penginapan Kolej Kediaman dan Luar Kampus

Mohd Fadzil Jamal (Pengerusi)

Helmy Faliq bin Zulqarnain

Tee Wooi Keat


Perhubungan dan Pengantarabangsaan

Nor Azween binti Mohamed Iqbal (Pengerusi)

Lim Bee San

Ng Rui Wei


Kebajikan dan Aduan

Mohamad Zaki bin Abdul Halim (Pengerusi)

Mihd Mukhlis bin Azmir

Nur Atiqah binti Mohamad Khir

Saiful Redzuan bin Yusoff


-mahasiswakini

Bahasa Melayu Ada Nilai Ekonomi Tinggi - Mohamad Zaki


Isu penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kepada pengajaran subjek Sains dan Matematik semakin hangat dibincangkan. Isu ini dibincangkan di semua peringkat sama ada nasional dan di dalam kampus. Tambahan pula, Gerakan Anti PPSMI (GAP) ditubuhkan oleh beberapa golongan professional yang telah membuat penilaian kritikal tentang dasar ini bakal menyerahkan memorandum dan mengadakan rapat umum pada 15 Februari ini.

Menyelami isu PPSMI dari kaca mata mahasiswa, bersama wartawan Mahasiswakini, MOHD SAID SABIR telah berkesempatan untuk menemuramah saudara MOHAMAD ZAKI ABDUL HALIM selaku wakil fakulti Akademi Pengajian Melayu yang telah memenangi kerusi akademi tersebut pada Pilihanraya Kampus Universiti Malaya bulan lepas. Ikuti penjelasan beliau permasalahan yang berlaku dan suasana sebenar dalam isu PPSMI ini.

MAHASISWAKINI:Apa perkembangan terkini saudara dalam beberapa minggu ini setelah memenangi kerusi sebagai wakil fakulti bagi Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya?

MOHAMAD ZAKI: Sudah memulakan kerja diperingkat awal. Selesai sudah pembentukan kabinet MPMUM. Dan sekarang sedang menjalin kerjasama dengan pihak pentadbiran fakulti untuk memulakan gerak kerja bagi menunaikan janji manifesto. Mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan gigaan terima kasih kepada pengundi akademi pengajian melayu yang telah memberi amanah serta kepercayaan kepada saya untuk membawa perubahan serta membela kebajikan warga APM. mohon kerjasama dan sokongan berterusan daripada seluruh mahasiswa APM.

Berkenaan isu ‘penggunaan Bahasa Inggeris bagi pengajaran Sains dan Matematik’ , secara asasnya, apa pendirian peribadi saudara?

Tidak bersetuju dengan dasar kerajaan ini sejak awal perlaksanaannya.

Apa masalah utama dan teras perjuangan dalam isu anti PPSMI dan Gabungan Anti PPSIM (GAP) ini? Boleh saudara perincikan sedikit?

Masalahnya, kita bimbang Bahasa Melayu terpinggir di bumi sendiri. Bukan sahaja soal kebahasaan tetapi dalam konteks yang lebih besar kita bimbang jati diri Melayu itu terhakis dalam pembawakan masyarakat Malaysia pada hari ini khususnya orang Melayu sendiri.

Persoalannya mengapa bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar bagi subjek ini? Bukankah kita sudah dan mampu melahirkan ramai cerdik pandai melalui bahasa Melayu. Di mana jati diri kita? Sanggup mengenepikan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan serta bahasa yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi?
Jepun contohnya, seluruh dunia kagum serta mengguna pakai teknologinya hasil dari kecekapan bangsanya yang belajar dan bangun membina kejayaan melalui bahasanya sendiri. Begitu juga China. Mengapa kita perlu berkiblatkan bahasa Inggeris?

Ini saya fIkir, menteri bertanggungjawab perlu berfikiran jauh jika benar-benar ikhlas membela nasib rakyat dan bangsanya ..!

Bagaimana saudara melihat prestasi dan kemampuan Bahasa Melayu dalam keberjayaan bahasa ini untuk digunakan secara meluas dalam pengajaran sains dan matematik?

Seperti saya katakan tadi , bahasa Melayu ada nilai ekonomi yang tinggi. Kita mampu mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Jika bangsa lain boleh bangun maju dengan dasar bahasanya sendiri mengapa tidak Malaysia? Bahasa melayu juga mampu bersaing malah kita harus yakin dan tanam cita-cita untuk melebarkan pengusaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Jika kita menafikan bahasa sendiri, kita tidak akan nampak fungsi serta prestasi bahasa kita dan ini menunjukkan bangsa kita lemah akan jati diri. Sebaliknya kita perlu yakin. Jadikan Jepun dan China sebagai contoh.

Jika hari ini system pendidikan di India yang menggunakan b.Inggeris sebagai pengantar, sejauh mana bangsa nya maju. Majukah orang India semata-mata belajar bahasa inggeris tetapi masih menggunakan teknologi asing !

Kenapa India tidak jadi peneraju teknologi dunia.?. sebaliknya Jepun dan China yang lebih kehadapan. Ini mnembuktikan bahawa , kemajuan bangsa itu bukan diukur melalui penguasaan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris bukan jaminan untuk membina kemajuan dan ketamadunan sesebuah bangsa.

Kementerian perlu sedar. Kita ada bahasa kita sendiri, dan ia diperakui dalam perlembagaan dan kita perlu luhur akan hal ini.

Apa halangan dan kelebihan menggunakan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan?

Tiada apa jua yang menghalang.

Jika persepsi kita mengatakan bahawa banyak rujukan Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris, ya saya akui, tetapi ia harus di atasi dengan cara, pelajar itu sendiri harus memahami dan menguasai bahasa inggeris. Caranya pedagogi pengajaran bahasa Inggeris perlu diperkasa. kita sedar rata rata pelajar kita kurang fasih berbahasa inggeris di sebabkan kurangnya keberkesanan pengajaran bahasa itu di peringkat sekolah.untuk mengatasinya bukan mengajar bahasa inggeris dalam Sains dan Matematik sebaliknya, silibus pengajaran Bahasa Inggeris itu perlu diperkemas dan di mantapkan corak pengajarannya kepada murid- murid.

Satu lagi cara kita boleh terjemah bahan rujukan Berbahasa Inggeris kepada bahasa melayu. Semakin banyak usaha penterjemahan dilakukan semakin banyak ilmu berkembang dalam Bahasa Melayu. Dan Bahasa Melayu mudah diterima sebagai bahasa ilmu. Nilainya cukup tinggi. Saya yakin dan percaya orang akan belajar bahasa melayu untuk mengusai bidang kritikal seperti Matematik dan Sains. Pendek kata , Bahasa Melayu juga mampu mengungkap konsep ilmu Sains dan Matematik. Ini secara langsung mengukuhkan kedudukan bahasa melayu dalam dunia pendidikan global. Bahkan saya percaya jika kita komited , status lingua franca Bahasa Melayu itu dapat dikembalikan semula..

Kelebihannya, mudah bicara, bangsa kita akan terbina jati dirinya yang kukuh melalui penghayatan bahasa yang tinggi. Kita mengangkat mutu dan nilai bahasa kita pada mata dunia. Kita perlu jadi seperti Negara yang mendewakan bahasa ibunda mereka. Orang akan berkata, Malaysia maju dengan bahasanya . maka orang kenal bangsa Malaysia yang maju itu. Inilah yang dikatakan bahasa jiwa bangsa.

Tun Dr. Mahathir sendiri pernah menyeru masyarakat kita agar menjadikan Negara timur sebagai contoh melalui dasar pandang timur. Tetapi mengapa dalam soal bahasa, isu bahasa ; kita tidak mahu mencontohi Negara timur.?

Segelintir masyarakat umum ada juga melihat perjuangan isu ini bersifat perkauman dan berbau cauvanisme, apa pandangan saudara?

Saya cabar siapa sahaja yang berani mengatakan isu ini berbaur perkauman. saya Faham apa itu perlembagaan. Saya patuh serta luhur dengan perlembagaan. Sudah termaktub bahawa bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka jangan ada pihak yang cuba menggugat kedudukannya.

Dahulu kita belajar dalam bahasa Inggeris ketika mula-mula merdeka. Selepas itu kita bentuk perpaduan melalui bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mediumnya adalah pendidikan. Kita jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. UKM sendiri ditubuhkan dengan hasrat bahasa melayu sebagai pengantar di peringakat pengajian tinggi.

Tetapi sekarang kenapa kita mahu mengenepikan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan. Dasar ini (PPSMI), sudah cukup menunjukkan bahawa kita seolah-olah menoleh kebelakang. Ini yang kita sedar dan tuntut serta perjuangkan. Bukan soal kaum. Kita ada Cina, Melayu, India dan Pelbagai etnik, sudah merdeka lebih 50 tahun, perpaduan selama ini dibina atas dasar bahasa kebangsaan. Kita orang Malaysia. Bangsa Malaysia, tidak kira apa jua kaum dan etnik yang diwakili, kita perlu patuh pada perlembagaan Malaysia.

Malaysia Negara berbilang kaum. Sejauh mana penerimaan GAP dan isu PPSMI ini sendiri kepada kaum bukan Melayu terutamanya Cina dan India?

Bebaskan minda kita dengan tanggapan GAP berbaur perkauman. Sebelum ini cina India dan melayu juga belajar dalam bahasa melayu. Sekarang fasih berbahasa melayu. Saya rasa kita sudah serasi dan selesa.

Tidak timbul soal penerimaan kaum lain. Kalau ada yang tak terima mengapa sekarang bersuara. Kenapa tidak sesudah merdeka lagi kita mengangkat bahasa inggeris sebagai bahasa rasmi Negara. Pengantar dalam system pendidikan kita?

Tepuk dada Tanya selera.

Perjuangan GAP adakah melihat kepada keberjayaan dalam bidang Sains dan Matematik ATAU keutuhan bahasa Melayu itu sendiri?

Kedua-duanya

Kita boleh maju dalam sains dan matematik walau belajar dalam bahasa Melayu dan kita juga dapat membentuk jati diri bangsa yang cinta akan bahsanya.. secara tak langsung bahasa melayu utuh , mantap dan lebih kukuh.

Apa pandangan anda tentang pendirian golongan Melayu Bandar yang berpendirian bahasa Inggeris lebih kehadapan dan mempunyai peluang cerah dalam penguasaan terhadap ilmu teknologi dan kemahiran yang datang banyaknya dari barat?

Bandar banyak kemudahan berbanding pedalaman.

Soalnya kita mahu bangsa kita yang dibandar sahaja maju atau pedalaman terus mundur?

Di mana demokrasi dalam pendidikan?

Apakah penyelesaian terbaik dalam usaha memuaskan hati semua pihak, berkaitan masalah penguasaan bahasa inggeris yang lebih, pelaburan yang tinggi terhadap PPSMI telah dibuat dan alasan bahasa inggeris lebih baik dalam penguasaan ilmu teknologi, sains, matematik dan sebagainya?

Tak salah jika kerajaan selangkah pandang ke belakang demi menjamin kebaikan yang lebih panjang. Perkasa kaedah pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Selesai masalah. Jika menteri bertanggungjawab benar-benar bertanggungjawab, mansuhkan ppsmi. Ini soal masa depan bangsa. Tindakan ini (memansuhkan PPSMI), menampakkan bahawa kerajaan ikhlas dalam mendemokrasikan pindidikan kepada seluruh rakyat.

Sebagai pengakhiran, apa harapan anda kepada seluruh mahasiswa terutamanya di Universiti Malaya dalam isu ini? Dan seluruh kampus di Malaysia amnya.

Bangkit menyokong pemansuhan PPSMI. Tunjukkan bahawa mahasiswa sebagai penegur dasar kerajaan yang tidak adil. Jadikan mahasiswa sebagai juru bicara umat. Sedar bahawa mahasiswalah yang akan meneruskan dasar ini jika mahasiswa tidak sedar kepincangan yang ada pada PPSMI. Jika hari ini mahasiswa berjaya memansuhkan PPSMI, kita akan lihat bangsa kita terpimpin dengan lebih ke hadapan serta maju dengan nilai kebahasaan sendiri.


sumber:mahasiswakinicom