Friday, February 6, 2009

Bahasa Melayu Ada Nilai Ekonomi Tinggi - Mohamad Zaki


Isu penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kepada pengajaran subjek Sains dan Matematik semakin hangat dibincangkan. Isu ini dibincangkan di semua peringkat sama ada nasional dan di dalam kampus. Tambahan pula, Gerakan Anti PPSMI (GAP) ditubuhkan oleh beberapa golongan professional yang telah membuat penilaian kritikal tentang dasar ini bakal menyerahkan memorandum dan mengadakan rapat umum pada 15 Februari ini.

Menyelami isu PPSMI dari kaca mata mahasiswa, bersama wartawan Mahasiswakini, MOHD SAID SABIR telah berkesempatan untuk menemuramah saudara MOHAMAD ZAKI ABDUL HALIM selaku wakil fakulti Akademi Pengajian Melayu yang telah memenangi kerusi akademi tersebut pada Pilihanraya Kampus Universiti Malaya bulan lepas. Ikuti penjelasan beliau permasalahan yang berlaku dan suasana sebenar dalam isu PPSMI ini.

MAHASISWAKINI:Apa perkembangan terkini saudara dalam beberapa minggu ini setelah memenangi kerusi sebagai wakil fakulti bagi Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya?

MOHAMAD ZAKI: Sudah memulakan kerja diperingkat awal. Selesai sudah pembentukan kabinet MPMUM. Dan sekarang sedang menjalin kerjasama dengan pihak pentadbiran fakulti untuk memulakan gerak kerja bagi menunaikan janji manifesto. Mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan gigaan terima kasih kepada pengundi akademi pengajian melayu yang telah memberi amanah serta kepercayaan kepada saya untuk membawa perubahan serta membela kebajikan warga APM. mohon kerjasama dan sokongan berterusan daripada seluruh mahasiswa APM.

Berkenaan isu ‘penggunaan Bahasa Inggeris bagi pengajaran Sains dan Matematik’ , secara asasnya, apa pendirian peribadi saudara?

Tidak bersetuju dengan dasar kerajaan ini sejak awal perlaksanaannya.

Apa masalah utama dan teras perjuangan dalam isu anti PPSMI dan Gabungan Anti PPSIM (GAP) ini? Boleh saudara perincikan sedikit?

Masalahnya, kita bimbang Bahasa Melayu terpinggir di bumi sendiri. Bukan sahaja soal kebahasaan tetapi dalam konteks yang lebih besar kita bimbang jati diri Melayu itu terhakis dalam pembawakan masyarakat Malaysia pada hari ini khususnya orang Melayu sendiri.

Persoalannya mengapa bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar bagi subjek ini? Bukankah kita sudah dan mampu melahirkan ramai cerdik pandai melalui bahasa Melayu. Di mana jati diri kita? Sanggup mengenepikan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan serta bahasa yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi?
Jepun contohnya, seluruh dunia kagum serta mengguna pakai teknologinya hasil dari kecekapan bangsanya yang belajar dan bangun membina kejayaan melalui bahasanya sendiri. Begitu juga China. Mengapa kita perlu berkiblatkan bahasa Inggeris?

Ini saya fIkir, menteri bertanggungjawab perlu berfikiran jauh jika benar-benar ikhlas membela nasib rakyat dan bangsanya ..!

Bagaimana saudara melihat prestasi dan kemampuan Bahasa Melayu dalam keberjayaan bahasa ini untuk digunakan secara meluas dalam pengajaran sains dan matematik?

Seperti saya katakan tadi , bahasa Melayu ada nilai ekonomi yang tinggi. Kita mampu mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Jika bangsa lain boleh bangun maju dengan dasar bahasanya sendiri mengapa tidak Malaysia? Bahasa melayu juga mampu bersaing malah kita harus yakin dan tanam cita-cita untuk melebarkan pengusaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Jika kita menafikan bahasa sendiri, kita tidak akan nampak fungsi serta prestasi bahasa kita dan ini menunjukkan bangsa kita lemah akan jati diri. Sebaliknya kita perlu yakin. Jadikan Jepun dan China sebagai contoh.

Jika hari ini system pendidikan di India yang menggunakan b.Inggeris sebagai pengantar, sejauh mana bangsa nya maju. Majukah orang India semata-mata belajar bahasa inggeris tetapi masih menggunakan teknologi asing !

Kenapa India tidak jadi peneraju teknologi dunia.?. sebaliknya Jepun dan China yang lebih kehadapan. Ini mnembuktikan bahawa , kemajuan bangsa itu bukan diukur melalui penguasaan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris bukan jaminan untuk membina kemajuan dan ketamadunan sesebuah bangsa.

Kementerian perlu sedar. Kita ada bahasa kita sendiri, dan ia diperakui dalam perlembagaan dan kita perlu luhur akan hal ini.

Apa halangan dan kelebihan menggunakan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan?

Tiada apa jua yang menghalang.

Jika persepsi kita mengatakan bahawa banyak rujukan Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris, ya saya akui, tetapi ia harus di atasi dengan cara, pelajar itu sendiri harus memahami dan menguasai bahasa inggeris. Caranya pedagogi pengajaran bahasa Inggeris perlu diperkasa. kita sedar rata rata pelajar kita kurang fasih berbahasa inggeris di sebabkan kurangnya keberkesanan pengajaran bahasa itu di peringkat sekolah.untuk mengatasinya bukan mengajar bahasa inggeris dalam Sains dan Matematik sebaliknya, silibus pengajaran Bahasa Inggeris itu perlu diperkemas dan di mantapkan corak pengajarannya kepada murid- murid.

Satu lagi cara kita boleh terjemah bahan rujukan Berbahasa Inggeris kepada bahasa melayu. Semakin banyak usaha penterjemahan dilakukan semakin banyak ilmu berkembang dalam Bahasa Melayu. Dan Bahasa Melayu mudah diterima sebagai bahasa ilmu. Nilainya cukup tinggi. Saya yakin dan percaya orang akan belajar bahasa melayu untuk mengusai bidang kritikal seperti Matematik dan Sains. Pendek kata , Bahasa Melayu juga mampu mengungkap konsep ilmu Sains dan Matematik. Ini secara langsung mengukuhkan kedudukan bahasa melayu dalam dunia pendidikan global. Bahkan saya percaya jika kita komited , status lingua franca Bahasa Melayu itu dapat dikembalikan semula..

Kelebihannya, mudah bicara, bangsa kita akan terbina jati dirinya yang kukuh melalui penghayatan bahasa yang tinggi. Kita mengangkat mutu dan nilai bahasa kita pada mata dunia. Kita perlu jadi seperti Negara yang mendewakan bahasa ibunda mereka. Orang akan berkata, Malaysia maju dengan bahasanya . maka orang kenal bangsa Malaysia yang maju itu. Inilah yang dikatakan bahasa jiwa bangsa.

Tun Dr. Mahathir sendiri pernah menyeru masyarakat kita agar menjadikan Negara timur sebagai contoh melalui dasar pandang timur. Tetapi mengapa dalam soal bahasa, isu bahasa ; kita tidak mahu mencontohi Negara timur.?

Segelintir masyarakat umum ada juga melihat perjuangan isu ini bersifat perkauman dan berbau cauvanisme, apa pandangan saudara?

Saya cabar siapa sahaja yang berani mengatakan isu ini berbaur perkauman. saya Faham apa itu perlembagaan. Saya patuh serta luhur dengan perlembagaan. Sudah termaktub bahawa bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka jangan ada pihak yang cuba menggugat kedudukannya.

Dahulu kita belajar dalam bahasa Inggeris ketika mula-mula merdeka. Selepas itu kita bentuk perpaduan melalui bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mediumnya adalah pendidikan. Kita jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. UKM sendiri ditubuhkan dengan hasrat bahasa melayu sebagai pengantar di peringakat pengajian tinggi.

Tetapi sekarang kenapa kita mahu mengenepikan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan. Dasar ini (PPSMI), sudah cukup menunjukkan bahawa kita seolah-olah menoleh kebelakang. Ini yang kita sedar dan tuntut serta perjuangkan. Bukan soal kaum. Kita ada Cina, Melayu, India dan Pelbagai etnik, sudah merdeka lebih 50 tahun, perpaduan selama ini dibina atas dasar bahasa kebangsaan. Kita orang Malaysia. Bangsa Malaysia, tidak kira apa jua kaum dan etnik yang diwakili, kita perlu patuh pada perlembagaan Malaysia.

Malaysia Negara berbilang kaum. Sejauh mana penerimaan GAP dan isu PPSMI ini sendiri kepada kaum bukan Melayu terutamanya Cina dan India?

Bebaskan minda kita dengan tanggapan GAP berbaur perkauman. Sebelum ini cina India dan melayu juga belajar dalam bahasa melayu. Sekarang fasih berbahasa melayu. Saya rasa kita sudah serasi dan selesa.

Tidak timbul soal penerimaan kaum lain. Kalau ada yang tak terima mengapa sekarang bersuara. Kenapa tidak sesudah merdeka lagi kita mengangkat bahasa inggeris sebagai bahasa rasmi Negara. Pengantar dalam system pendidikan kita?

Tepuk dada Tanya selera.

Perjuangan GAP adakah melihat kepada keberjayaan dalam bidang Sains dan Matematik ATAU keutuhan bahasa Melayu itu sendiri?

Kedua-duanya

Kita boleh maju dalam sains dan matematik walau belajar dalam bahasa Melayu dan kita juga dapat membentuk jati diri bangsa yang cinta akan bahsanya.. secara tak langsung bahasa melayu utuh , mantap dan lebih kukuh.

Apa pandangan anda tentang pendirian golongan Melayu Bandar yang berpendirian bahasa Inggeris lebih kehadapan dan mempunyai peluang cerah dalam penguasaan terhadap ilmu teknologi dan kemahiran yang datang banyaknya dari barat?

Bandar banyak kemudahan berbanding pedalaman.

Soalnya kita mahu bangsa kita yang dibandar sahaja maju atau pedalaman terus mundur?

Di mana demokrasi dalam pendidikan?

Apakah penyelesaian terbaik dalam usaha memuaskan hati semua pihak, berkaitan masalah penguasaan bahasa inggeris yang lebih, pelaburan yang tinggi terhadap PPSMI telah dibuat dan alasan bahasa inggeris lebih baik dalam penguasaan ilmu teknologi, sains, matematik dan sebagainya?

Tak salah jika kerajaan selangkah pandang ke belakang demi menjamin kebaikan yang lebih panjang. Perkasa kaedah pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Selesai masalah. Jika menteri bertanggungjawab benar-benar bertanggungjawab, mansuhkan ppsmi. Ini soal masa depan bangsa. Tindakan ini (memansuhkan PPSMI), menampakkan bahawa kerajaan ikhlas dalam mendemokrasikan pindidikan kepada seluruh rakyat.

Sebagai pengakhiran, apa harapan anda kepada seluruh mahasiswa terutamanya di Universiti Malaya dalam isu ini? Dan seluruh kampus di Malaysia amnya.

Bangkit menyokong pemansuhan PPSMI. Tunjukkan bahawa mahasiswa sebagai penegur dasar kerajaan yang tidak adil. Jadikan mahasiswa sebagai juru bicara umat. Sedar bahawa mahasiswalah yang akan meneruskan dasar ini jika mahasiswa tidak sedar kepincangan yang ada pada PPSMI. Jika hari ini mahasiswa berjaya memansuhkan PPSMI, kita akan lihat bangsa kita terpimpin dengan lebih ke hadapan serta maju dengan nilai kebahasaan sendiri.


sumber:mahasiswakinicom

No comments: