Sunday, December 19, 2010

...orang memberi kita merasa

Terbang burung dari selatan,
Dipuput angin sangga bayu;
Bukalah surat dari lipatan,
Lihatlah pantun bahasa Melayu.

Pantun merupakan sejenis puisi tradisional Melayu ciptaan terbaik, milik masyarakat Melayu yang diwarisi dari zaman ke zaman. Dengan bentuknya yang padat dan kemas, pantun sering menjadi pilihan dalam pelbagai acara kerana keistimewaannya menggambarkan kehalusan serta keprihatinan masyarakat Melayu terhadap alam dan ruang lingkup budayanya yang mencerminkan peribadi dan sifat-sifat terpuji orang-orang Melayu.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Pantun dicipta sebagai suatu pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang atau mengenai sesuatu perkara, malahan pantun digunakan juga untuk menyindir, berjenaka, memberi nasihat dan berhibur. Dari dahulu hingga kini pantun sering menjadi pemanis kata dalam sesuatu majlis dan upacara rasmi. Dalam majlis rasmi atau majlis merisik, meminang dan perkahwinan, pantun diucapkan untuk melahirkan rasa kasih sayang, rindu dendam, kias ibarat dan kegembiraan.Pantun menjadi salah sebuah puisi Melayu lama yang dapat memberikan warna-warna perasaan dengan lebih berkesan.

Sampat kotak hilir mudik,
Dayung patah galah sebatang;
Ikhtiar tidak datang bergolek,
Akal tidak datang melayang.


dipetik daripada;  
'orang berbudi kita berbahasa'
DBP Wilayah Utara
2010

No comments: