Thursday, October 9, 2008

Cheritera Pandak: Setiaku di Sini

Setiaku di Sini …

Semalaman di pangkin. Bawah rendang ketapang. Sesekali menghempas deras ombak ke pantai, ada juga lebar daun ketapang yang gugur. Menari-nari dipuput bayu laut sebelum jatuh menyembah gebu pasir. Semuanya menjadi temanku, memecah sunyi malam itu. Serba tak keruan. Entah apa yang ingin difikirkan. Buntu. Serabut dalam kepala semakin membelit fikiran. Sambil berlunjur – tapak kaki menghadap gigi pantai, jauh mata menjamah hitam segara terbentang dan keras ibu jari kaki; kedua-duanya menunjuk langit yang kelam, aku menghirup perlahan secawan kopi yang sudah suam-suam kuku panasnya diselang-seli mencecahnya dengan tiga empat keping biskut mayat… terkenang satu cerita – peristiwa yang telah menjadi sejarah. Kisah yang mengajar, menbedakan antara cinta dan keinginan untuk memiliki.

* * * * * * * * * *
Ahmad Zackry Mansor, anak bongsu Haji Mansor dan Hajah Sufiah – Azamnya berkobar-kobar ketika mula menjejakkan kaki di sebuah gedung ilmu perdana. Di sinilah, lahirnya nama-nama besar pemimpin negara yang menjadi idolanya dalam dunia politik tanah air. Siapa yang tak kenal dengan Anwar Ibrahim? Abdullah Ahmad Badawi? Dan tak kurang hebatnya Husam Musa dan Sabery Chik. Zackry ingin mengikut jejak mereka. Niat dihati ingin melunaskan hutang wajib bayar terhadap orang tuanya. Dia berjanji pada roh dan semangatnya untuk ingin melihat kedua-dua orang tuanya senantiasa menguntum senyum ketika meniti sisa-sisa usia emas mereka. Minat ingin menjadi seorang pendidik amat mendalam dan impian itu sudah hampir dikecapnya dan tak ingin sesekali dia mensia-siakan harapan Hajah Sufiah. Masa depannya direncana serapi mungkin demi kesejahteraan muka. Ruang dan peluang yang tiba harus dimamah sebaiknya dalam melayari hidup pada era yang semakin mencabar tatkala langit mendada luas tanpa batasan dan sempadan dunia.

"Lepas habis mengaji, nak jadi cikgu. Pencen cikgu, masuk politik", dia bermonolog sendiri.

Itulah impiannya yang tak pernah padam malah makin menggunung. Anak muda Haji Mansor ini memang obsesi dengan politik, namun perlu dilunaskan dahulu janjinya dengan Hajah Sufiah. InsyaAllah. Dalam tiga empat tahun lagi jadilah dia seperti ibunya, yang kini sudah enam tahun pencen. Bukan calang-calang guru, lima tahun sebagai pengetua sebelum dia bersara di salah sebuah sekolah ternama di Alor Star. Darah pendidik itu sudah tentu bercampur dengan benih patriotik yang ada pada Haji Mansor – biar sibuk dengan perniagaan sendiri, tugas dan tanggungjawab sebagai aktivis politik telah sebati dengan dagingnya. Kalau tak ke nasi, ke mana lagi nak tumpahnya kuah.

* * * * * * * * * *
Kebas juga rasa kaki berlunjur lama-lama. Sedar tak sedar, tinggal cuma sekeping suku biskut mayat yang tadi sepiring penuh. Kopi secawan tadi sudah separuh tinggal. Ingatanku masih membunga. Cantik juga laut di malam hari. Berkelip-kelip lampu bot nelayan. Tampak berseri menemani kumpulan penyandat sotong. Memang lubuknya di situ. Tak jauh dari pelantar Teluk Batu. Sepuntung rokok sahaja kalau nak ke sana. Selalu jugalah aku ke situ kalau ada lapang. Bukannya mahu menyandat, sekadar hirup angin tanjung. Sahihnya berada di situ, tak terlepas mengimbau kenangan dulu. Ada saja yang membujur lalu. Nak tak nak, layan jugalah kerenah perasaan ini. Cuba dilupakan, tapi tak tercapai dek akalku kerna itulah puncak sejarah dalam plot kehidupanku.

* * * * * * * * * *
Penggal kedua pengajian membuka lembaran baru dalam kamus hidup Zackry. Sudah dua kali peperiksaan dia cemerlang. Alhamdulillah. Allah takkan persia hamba yang rajin berusaha dan tawakal padaNya. Semester ini Zackry diuji oleh tuhan empunya dunia tanpa dia sedari. Sesungguhnya rahmat tuhan itu adalah mutlak bagiNya dan berhak kepada sesiapa yang dikehendaki. Kasih dan sayang menjadi pengikat kasih sesama makhluk. Mengalirnya ia dalam sanubari persis tenangnya sungai di taman firdausi. Itu antara rahmat yang paling besar dari Maha Pencipta. Apa tidaknya, nikmat inilah yang meneguhkan cinta Khadijah pada Muhammad SAW, taat setia Siti Hajar untuk Ibrahim a.s dan mulusnya kasih Zulaikha terhadap Yusuf a.s. Tuhan sengaja ingin menduga sejauh mana kesabaran hambanya dan kurniaan itu dibenihkan dalam jiwa anak muda ini. Dia mula pandai menyiram kasihnya untuk kaum pengindah dunia dan semolek-moleknya ada pada mereka yang solehah. Sudah dua semester belajar bersama, namun kelibat gadis manis pantai timur itu tak pernah mencuri pandangan Zackry. Kewujudan Zarina langsung tak dihiraunya. Mungkin sikapnya yang agak pemalu dengan wanita sedikit sebanyak membuatkan dia tidak ambil kisah akan kehadiran rakan sefakultinya yang lain. Yang rapat dengannya cuma teman-teman sekelas – ke hulu ke hilir bersama, tak lekang mengkelek buku-buku rujukan yang tebalnya kira sama dengan papan kuda buat pelapik punggung tika memarut kelapa. Kendatipun begitu, sifatnya ramah menyapa siapa saja yang menguntum senyum padanya.Seminggu sesudah mulanya musim baru pembelajaran, hatinya seolah-olah diketuk perasaan yang asing. Tak pernah dirasanya sebelum ini. Berdetap-detup jantung tatkala wajah ayu gadis kelahiran Dungun itu melintasi bulat matanya. Berderau juga darah mudanya. Geletar lutut bagai nak tercabut tempurung kepala. Rasakan penangan angin Laut China Selatan.

"Aku tak boleh bohong pada diri sendiri, tak tahu nak buat macam mana? Pelik sungguh rasa", terbit jua kata-kata itu dari mulut Zackry.

Hampir setiap hari disakat teman-teman karibnya. Pantang saja Zarina lalu, mulalah Saiful dan Tashriq menyindir-nyindir Zackry. Serba salah dibuatnya namun di sudut kamar hati, sudah kembang semangkuk kasihnya pada gadis itu. Apa yang mampu, sekadar melebar senyum bila dikerling Zarina. Jelingan gadis Melayu sememangnya bisa memecah tembok iman para teruna. Gadis yang gemar berbaju kurung ungu itu memang manis orangnya. Masakan tidak, setiap hari ke kuliah, ungu bajunya. Apapun kalau diperhalusi, tanahnya saja yang sama warna tapi bunga lain-lain. Itulah Zarina, hamba Allah yang tak lokek dengan senyuman. Bermata bulat. Kuning langsat kulitnya. Tapi bila menjeling, bagai ibu singa lapar yang kehilangan anak. Pada Zackry, itulah ayunya Zarina – tertambat sudah Ina dihatinya. Bukan tak pernah Zackry cuba luahkan perasaannya pada Ina, tapi tak terluah. Keras lidah bila bertentangan. Lumrahnya lidah tak bertulang, tapi sudah membatu bila ada di hadapan gadis itu. Perasaan itu hampir lima bulan setengah terpahat. Namun, tak jua terukir ayat-ayat cinta untuk Ina. Dipendam hingga mendap. Umpana takungan air paip dalam kolah, berkelodak di dasarnya. Takutnya hanya satu. Niat baiknya disalah ertikan. Takutnya juga andai hajat dihati tak kesampaian.

"Macam mana pun aku mesti berani", terdetik di hati kecil Zackry. Itulah yang menjadi perangsang baginya. Percaya pada hati, ikut saja katanya.

* * * * * * * * * *
Tajam angin bertiup malam itu. Bagai sembilu menusuk tembus urat-urat sarafku. Gelenang embun dikelopak mata mula dingin terasa. Tunggu saat untuk limpah membasahi wajah. Sedih, terharu, pilu, syukur dan rasa tenang dijiwa bercampur baur. Balik kuang jadinya macam rampai laici kang digoncang - parut lama dihati diselak tengok. Masih berbekas tapi biar menjadi tanda dan bukti untuk segala kesabaran serta pengorbanan. Biar ia berdarah sedang orang lain bahagia. Juga biar menanah asal Zackry masih dapat melihatnya. Hanya doa mendekatkan dia pada Zarina, tika mana sujudnya tak lekang meminta, mohon supaya bekekalan kasih mereka.

* * * * * * * * * *

"Zack, Ina sayangkan Zack. Ina sayangkan persahabatan ini. Ina bukannya berniat untuk menolak…."
"Baik Ina, Zack faham." Sampuk Zackry sebelum Ina sempat menokhtahkan ayatnya. Hatinya remuk.

Berkecai. Luluh rasa jiwa. Tersentap dia dengan kata-kata Ina. Dia cuba berpaling dari menatap wajah dara pujaannya. Bingkas bangun dan membelakangkan Zarina sedang gadis itu sudah mula mengetap bibir menahan sayu di hati. Dari kuning langsat kulitnya, bertukar merah serta-merta. Tampak mengalir darah pada urat-urat pipi gebu dimukanya. Bukan niatnya mahu melukakan. Apakan daya, diri sendiri tak bisa dibohongi apatah lagi soal hati. Mana mungkin perasaan sebegitu dipaksa-paksa.

"Ina cuma nak Zack faham keadaan ni. Berat rasanya Ina mahu terangkan sebab Ina terlalu sayangkan Zack sebagai kawan Ina." Sedu sedan nadanya, cuba membunuh kebuntuan suasana.

Gerimis yang menyapa isi alam dengan tiba-tiba ketika itu bagai berkongsi kesedihan mereka. Tak siapa pun berganjak dari tempat tanah dipijak. Kaku. Mendung kelabu terhenti berarak. Bungkam seribu bahasa. Masing-masing cuba mendapatkan kepastian dan memahami keadaan. Gerbang kain baju kurung Zarina sudah tersingkap paras betisnya bila sesekali gerbas angin bertiup sederas hela nafas Zackry. Sisir angin dibalik rimbunan pukul lima seolah-olah membisik madah-madah istighfar dalam hatinya.

"Apakah aku telah melukakan hatinya?"
"Salahkah aku berterus-terang?"
"aku tak berdaya untuk hadapi ini semua. Ya Allah, kau berilah aku kekuatan, agar dia mengerti."

Zarina mengomel sendirian. Macam-macam rasa bertindih tindan dalam kelambu fikirannya.

* * * * * * * * * *

Allahuakbar! Tersentak aku. Tertepis cawan kopi yang berbaki hitam pekat tahinya bila aku cuba mengubah letak duduk punggungku. Jatuh bawah pangkin. Dibiarkan saja. Posisiku lebih senang menghayun kaki - berjuntai menguis debu pasir dihujung jari. Kedua-dua telapak tangan rapat menongkat bahu - mengimbang badan, juga menampung berat perut yang sudah mula naik. Dalam dua bulan belakangan ini, makin besar angka pada hujung jarum penimbang. Empat kilo sudah terlajak dari berat biasa sebelum ini. Senang hati mungkin. Tapi syukurlah, setakat ini belum ada penyakit yang bukan-bukan menghuni tubuhku. Harap-harap dijauhkan. Alhamdulillah, mata pun terang lagi. Takut juga bila difikirkan, pada umur begini memang waktunya penyakit 'tiga serangkai' mula memberi salam. Nauzubillah… sudah jauh mengelamun.

* * * * * * * * * *

Malam Jumaat itu masih disimbah deraian hujan yang tak sereyat sejak petang. Terkujur tubuh Zackry melintangi katil kelaminnya bagai mayat mati mengejut. Lentok dibuai perasaan sambil terpejam mata melangut ke siling bilik. Segera dicapainya telefon selular jenama mewah dihujung kepala sebelah otak kanannya. Tak reda berlagu bagai hujan diluar sana. Tersembunyi sedikit, terlindung bawah empuk bantal kabu yang bersarung ungu. Bagai sudah sebati pula rona itu dengan hidupnya. Agaknya tak jauh beza dengan biru kegemarannya. Digenggam erat susuk tubuh telefon itu. Pantas membuka inbox - mesej malam itu yang masuk tanpa henti bagai ratusan rangkai gerabak kereta api panjangnya dibaca dalam penuh pilu dan syahdu menerjah ke jiwa. Satu persatu antara yang menyentuh rasa.

(i)
…sekali lagi Ina minta maaf dari Zack. Ina hargai keikhlasan Zack untuk berkawan dengan Ina. Tapi, terimalah Ina seadanya sebagai kawan Zack seperti mana yang lain. Ina sudah ada yang punya. Maafkan Ina..

(ii)
…satu yang Ina pinta dari Zack, jangan kita rosakkan persahabatan ini, Ina akui Zack baik terhadap Ina, malah terlalu baik..tak layak Ina untuk Zack, carilah yang lebih sempurna. Antara kita,akan ada waktunya bila sudah tertulis jodoh itu di LohMahfuzNYA…

Dalam banyak-banyak pesanan ringkas itu, hanya dua atau tiga saja yang dibalas Zackry.

(i)
…Ina jangan rasa bersalah. Zack tak pernah dan tak akan salahkan Ina, mungkin ada baiknya kita begini.. Zack tak mahu memaksa,dayus rasanya jika Zack tak boleh terima kenyataan. Apapun Zack harap Ina bahagia walau bukan disisi Zack…salam…

* * * * * * * * * *

Sudah bertahun peristiwa itu berlalu. Masa jadi, belum tamat pengajian kedua-duanya. Sampailah masing-masing mengikut arah sendiri. Seperti yang dicita-citakan, Zackry sudah mengajar dua tahun. Untung sabut selalunya timbul, mengajar dia di sekolahnya sendiri. Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star. Pentas tarbiah Mahathir Mohamad hingga menjadi perdana menteri selain Daim Zainudin dan ramai lagi yang sudah pun sejuk punggung duduk dikerusi-kerusi tertinggi. Ada yang jadi Ketua Hakim Negara serta Speaker Dewan Rakyat.Dalam sibuk yang memanjang, dengar-dengar Zarina sudah mahu berkahwin. Hairan juga Zackry mendapat khabar itu dari Tashriq. Tak pernah pula dia tahu Zarina sudah bertunang, tup-tup tinggal selangkah lagi hendak naik pelamin. Tapi, tak mungkin itu sekadar angin bertiup, sebabnya berita itu Tashriq maklum melalui Mustika; sahabat karib Zarina sejak menuntut lagi. Dia bagai tak percaya, gadis yang dia nanti selama ini bakal dimiliki orang. Hatinya retak jadi keping-keping berterbangan ibarat puing-puing di awangan. Cinta untuk Ina tak pernah pudar walau seinci pun. Setianya menanti selama ini penuh harapan, agar Ina dapat diikat dengan tali pernikahan. Namun nasib tak mewarnai hidupnya. Walau begitu, Zackry tak pernah hiraukan bunyi-bunyi bingit dari suara yang meminta dia melupakan Zarina. Masih setia menunggu. Orang tuanya juga pernah menyuarakan hasrat untuk menimang cucu. Pernah sekali Hajah Sufiah mahu regukan Zackry dengan anak rakannya, tapi tetap keras hati Zackry untuk terima. Katanya, biar masa yang menentukan. Kalau ada jodoh adalah. Tunggu sahaja seru dariNya. Niat baik ibunya terbantut setakat itu, mengenangkan sikap anak bongsunya yang tak suka dipaksa. Tulus kasihnya pada Zarina terselit rapi dicelah-celah hati yang terluka. Ombak rindu yang beralun, sering menghempas pantai perasaan. Sekali bah, tak pernah berubah. Jiwanya kuat menanggung resah kerinduan. Kental orangnya. Kekuatan itu hadir dalam setiap doa di penghujung tahiyatnya. Itulah rahsia rahmat tuhan pada hamba yang selalu mengingatiNya dalam susah mahupun senang.

* * * * * * * * * *

"Dua minggu lagi dah nak jadi isteri orang. Pandai-pandai bawa diri, suami tu kena pandai ikat kalau tak dia cari lain." Usik Mustika dalam bualan telefon dengan Zarina.
"Tahulah aku macam mana nak ikat dia. Bukan takat ikat, jerut sampai tak bernyawa pun aku boleh buat."
"Suka kaulah Ina, itu laki kau bukan laki aku. Dahlah, lain kali sembang lagi. Nanti aku telefon semula." Sakat Mustika lagi.
"Baiklah. Tapi jangan lupa datang kenduri aku nanti, dah tak lama dah." Ingat Zarina pada temannya yang baru tiga hari lepas pantang. Memang jadi hubungan dia dan Fendi. Lepas tamat belajar, terus kahwin. Sepasang sudah anak mereka, setahun seorang.

Zarina kini hanya menghitung hari dan waktu untuk diijabkabulkan. Harapannya agar semuanya lancar seperti yang dirancang. Untuk majlis kahwinnya nanti diserahkan bulat-bulat pada keluarganya dan Zamir, jejaka yang bakal mencium dahinya pada upacara batal wuduk dua minggu lagi. Dalam detik-detik terakhir ini jugalah Zamir mula berasa tak senang duduk dan meracau-racau tidur malamnya. Hatinya tak sedap waktu Zarina menangis dihadapannya minta dihalalkan segala makan minum dan diampunkan dosa-dosa dia terhadap bakal suaminya. Katanya jika apa yang terjadi majlis tetap diteruskan. Jangan hampakan hasratnya. Buah butir kata itu keluar dari mulut Zarina sewaktu bersama Zamir ke Rantau Panjang untuk membeli kelengkapan majlis resepsi.

* * * * * * * * * *

Lamunanku terhenti seketika. Terkejut dek daun ketapang yang gugur di atas kepala. Kucarik-carikkan daun itu hingga tak sedar ia hancur lumat ditapak tanganku. Khabar Zarina kemalangan jalan raya, menyabut nyawa Zackry. Terburai biji-biji tasbih melantun-lantun selerak dari hujung jarinya. Bagai tak lepas bernyawa waktu itu. Rasa halkum dicekak keras pada pangkal leher. Itulah yang tergambar bila saja Mustika menghabiskan patah kata ayatnya; Ina kemalangan. Petang Khamis, Zarina ke Kuala Terengganu. Jam 3.36, sampai dia di sana. Baju tempahan yang diambil sehari sebelumnya agak longgar. Bahu jatuh sikit. Tak kena dengan susuk tubuhnya. Itu sebab dia beria-ia ke sana tanpa sempat tunggu Zamir habis kerja petang itu. Hingga terbenam matahari, belum lagi pulang ke rumah. Haji Hassan yang lokos dengan air sembahyang ketika itu sempat mencapai gagang telefon sambil membetulkan serban di kepalanya. Kelam kabut dia Maghrib itu. Mulanya salam dijawab tenang. Tiba-tiba terkulai layu tubuh orang tua itu tersandar betul-betul pada gerobok kitabnya. Mulai sayu malam itu. Seluruh ahli keluarga sudah maklum tentang musibah yang menimpa. Hanya tinggal di rumah, anak bongsu Haji Hassan dan sedozen cucunya. Yang lain sudah ada di wad. Bakal pengantin sudah hilang manis darahnya. Kes langgar lari di jalan Kampung Losong memang berbadi.

* * * * * * * * * *

"Pihak lelaki dah buat keputusan. Kami nak batalkan perkahwinan ini." Beritahu Dato' Kassim.
"Istighfar Dato'. Bawa bincang dulu, ini bukan perkara main-main." Rayu Haji Hassan.

Sebaik saja diberitahu bahawa bakal pengantin perempuan tiada harapan untuk berjalan semula, keputusan tak masuk akal itu disepakati oleh keluarga sebelah lelaki. Kelibat Zamir di wad ICU langsung tiada bayang. Hanya bapanya, Dato' Kassim bersama isteri sahaja yang mewakili pihak lelaki. Zamir hanya mengucapkan takziah melalui telefon bimbit kepada Haji Hassan. Hasrat membatalkan majlis tetap dinyatakan tanpa rasa simpati dan bersalah. Hanya kerna Zarina lumpuh kedua-dua belah kakinya, majlis yang berbaki tak sampai dua belas hari lagi mudah-mudah dibatalkan. Katanya, mana mahu letak muka dan malu keluarganya. Maruah keluarga perlu dijaga. Tak mungkin seorang perempuan cacat akan jadi sebahagian dari keluarga berada dan ternama seperti mereka. Malam hari kejadian itu juga, Zackry dan Mustika tiba menziarahi Zarina. Sedih dan sayu melihat keperitan yang terpaksa ditanggung Zarina. Bukan sekadar hilang daya upaya untuk bergerak dan berjalan malah juga kehilangan orang yang disayanginya sepenuh jiwa dan raga.Inikah lambang kasih dan sayang Zamir pada Ina, dan inikah dia balasan cintanya terhadap Zamir? Inikah namanya cinta? Patutkah cinta berakhir begini? Apakah cinta hanya bermakna pada keindahan? Tiadakah cinta pada yang tidak sempurna sifatnya?

* * * * * * * * * *

Ternyata persoalan itu terjawab. Hanya yang benar-benar menghargai nilai cinta sahaja yang mampu mengungkapkan erti kasih sayang sejati. Bukan mudah menerima kenyataan sebagaimana yang dihadapi Zarina. Kocakan hatinya berbaur segala macam perasaan. Di sinilah hatinya celik untuk membezakan antara cinta dan keinginan. Tidak mesti yang dicintai itu akan dimiliki dan juga tidak semestinya yang diingini itu benar-benar dicintai. Sukar untuk menerima pelawaan Zackry. Atas alasan apa dia bertindak semacam itu. Ikhlaskah dia atau hanya simpati? Masihkah ada cinta dahulu dalam dirinya? Seandainya masih ada cinta, ada kesempatan untuk mereka bersama. Dan jika itu jodohnya, takkan lari gunung dikejar.

* * * * * * * * * *

"Walid, umi panggil balik!"
"Eh, anak walid tak tidur lagi?"
"Belum lagi, umi suruh jemput walid balik. Nak tidur sama-sama."
"Ya? Baiklah, jom kita balik. Umi mana?"
"Tu.. dekat batu sana tu."
"O.k, cepat lari walid nak kejar dia…"

Aku mendekati wanita yang sedang khusyuk menikmati dingin malam angin pantai. Aku melabuhkan punggungku di atas batu tempat sama lebar punggung wanita itu duduk. Erat kupeluknya. Panas kulit tubuhku terasa biarpun angin laut kuat menghembus nafasnya. Aku dihulurkan sekeping nota ungu. Ku sambut mesra dari halus tangan wanita itu. Menitis air mata, terharu aku membacanya. Sekeping nota yang terkalam indah bait-bait puisi karanganku untuknya setelah hajat aku mengahwininya disambut dengan senyuman. Titipan kasih yang sudah lama kucoretkan…

Ina,
Hanya kau kasih…
kau ku kasihi,
Kata-kata yang dilafazkan,
Mengikat jiwa dan cinta,
Hingga tak termimpi pengganti yang lain,
Biarku dicengkam gelisah,
Dibuai rindu yang mendalam,
Resah mendamba belaianmu,
Yang teramat ku dahaga,
Ku masih lagi setia..
Biarpun takdir mencabar kita terpisah,
Ku masih lagi di sini,
Berpegang teguh kalimah… cinta,
Kubisikan,
Dalam tangisan,
Yang gugur berderai ke bumi,
Menjadi bingkisanku yang akhir,
Untuk bekalan jalanmu,
Mencari mahkota menghiasi…
Pelamin kita…

Itulah luahan rasa cinta kepada wanita yang kini bergelar ibu kepada anakku. Dia sudah mampu melangkah semula biar pun masih kekok langkahnya. Semuanya adalah berkat kesabaran dan semangatnya untuk hidup di sampingku. Perlahan-lahan aku menuntunnya sambil dari jauh aku perhatikan anak kecil yang sedang berlari-lari di gigi pantai. Dia penawar hidup aku dan wanita dalam pelukanku. Aisya Sofea Azaleiya Ahmad Zackry. Hadiah paling istimewa dari Zarina Hassan untukku…..

3 comments:

mutiara said...

Assalamu'alaikum wahai sahabatku..Sesungguhnya begitu dalamnya cintamu buat insan yang bernama Ina itu..Bertaubatlah..Sesungguhnya aku khuatir andai cintamu itu lebih dalam untuk seorang muslimah berbanding Tuhanmu..Sungguh aku khuatir! Bertaubatlah sahabatku..

Anonymous said...

SEANDAINYA DAPAT KAU SELAM
SAMBIL MENTAFSIR TASIK HATKU
CUMA TENANG DI PERMUKAAN
DAN DI DASARNYA
BERGELORA…
PERSOALAN DEMI PERSOALAN
MEMBELENGGU AKAL DAN FIKIRAN
TIDAK KU TEMU JAWAPAN
SEANDAINYA…
DAPAT KU LARI…JAUH KU PERGI MEMBAWA DIRI
SEBENARNYA…
LANGKAH TERKUNCI ANTARA KASIH DAN JUGA BUDI
MENGAPA… KAU JUGA YANG KU RINDU
WALAU SUDAH KU TAHU PAYAH BERSATU HIDUP DGNMU
ENGKAU SUNGGUH JUJUR DAN IKHLAS TERHADAPKU
XPRNAH DLM SEKALIPUN KAU PINTA KU MENGGANAS
SEMUANYA ITU LAMBANG KESETIAANMU
BUKAN NYA MENGABURI MATA INI ATAU SEBALIKNYA
KITA…BAGAIKAN PERTARUHAN PADA YANG MENYAKSIKAN JAUH MANAKAH KITA BERTAHAN
JIKA KU TERSILAP PASTINYA DI PANDANG HINA
TERLALU BYK SUNGGUH HALANGAN TERPAKSA KU TERJAH
AKU PUN…TIDAK TAHU APA YANG INGIN TUHAN
TUNJUKKAN ADAKANH INI DUGAAN NYA
HANYALAH SEKADAR UNTUK MENGUJI SETIAMU
SEANDAINYA HAJAT TAK SAMPAI
MARUAH DAN BADAN PASTI BERKECAI
TERKUBUR HARAPAN
DIRI YANG CINTA…
KASIH INI KITA SEMADIKAN…

sweet cheery pie said...

indah sangat cite ni.. ayat memang giler besh tau :)