NASUHA
Oleh  Mohamad  Zaki  Abdul  Halim
HIDUP  ini  umpama  puing-puing.  Terbang  di  awangan.  Merela  diri  ditiup  angin.  Logikanya, ia  tiada  berparuh, tidak  bersayap  untuk  menghala  arah  sendiri.  Maka  melarut  ia  dalam  dingin  dan  panas  udara  langsung  menjadi  debu  mengelilingi  perjalanan  sebuah  kehidupan.  Halus  tetapi  sejauh  mana  mulusnya.  Kudus yang  belum  menjamin  ketulusannya.  Hanya  hati  yang  cakna  dan  tersentuh  dapat  menterjemahkannya.  Jalanan  ini  bukan  hanya meniti  dunia, malah  alam  abadi  menjadi  sandaran  agama.  Apa  yang  dilakar  ketika  ini,  akan  diwarnai  pada  waktu  kemuncak  cinta-Nya.  Hitam  putih  wajah  kita  akan  disinari  syafaat  dan  iradat-Nya.  Namun, masih  menjadi  tanda  tanya, apa  harus  dibiarkan  hidup  ini  di  hembus  bayu?  Atau  lebih  molek  menjadi  lalang  yang  lentok  nasib  hidupnya  ditentukan  pawana?   
Hidup  ini  terlalu  objektif. Mengenal  pahala  dan  dosa.  Kadang  kala  menjadi  subjektif, ada  harus  dan  makhruh  selain  haram  halalnya.  Itu  cuma  suatu  rukhsah  dan  kelonggaran  yang  memungkinkan  manusia  menjadi  lalai, abai, cuai  dan  longlai.  Tetapi,  hanya  iman  yang  ghaib  itu  sebagai  imam  dan  radar  petunjuk  jalan.  Ianya  adalah  sandaran  yang  teguh  bila  i’tikad;lafaz;kerja-buat  menjadi  satu.  Di  sinilah  istiqamah  itu  perlu  menerobos  segala  gejala  yang  menjadi  krisis  kehidupan.  Ia  harus  menjadi  pendinding  yang  memahatkan   kekuatan  hati.  Mengemudi  luan  nafsu  yang  tiada  tepian  tika  ombak  kejahatan  mula  bergelombang - memukul  persisir  yang  mudah  hanyut  dibawa  deras.  Benteng  inilah  bisa  meredakan  gejolak  batin  yang  tak  sudah-sudah  meluap.  Maka  nafsu  itu  harus  dipandu  dengan  hemah  agar  senantiasa  berada  pada  saf  yang  hakiki.  Melawannya  adalah  satu  peras  ugut  emosi.  Penentuan  kalah  mati  kehidupan.  Inilah  satu  perjalanan  merentas  hakikat  perasaan.  Menyedari  hakikat  hidup  yang  fana  ini,  terdetik  di  celah  sanubari  hati  Danny  bahawa  harus  ada  garis  penamat  dalam  kesongsangan  hidupnya.  Noktah  segala  kejahilan  yang  perlu  diakhiri  dengan  sejuta  penyesalan.  Kesal  yang  benar-benar  sesal.
*************************************************************************
Roh  jahat  itu  menyisip  masuk  lalu  memandu  akal  dan  nafsunya  untuk  berentap  di  ranjang  jahanam.  Jahanamnya  sebuah  malam  yang  menjadi  tanda  tanya  akan  keikhlasan  hati  seorang  lelaki  bernama  suami.  Dayus  dia  bila mana  tewas  pada  saat  malam  senggama  pertama.  Kalah  sebagai  seorang  lelaki  dan  jantan  sejati.
**************************************************************************
Salam  cinta  memutik  semekar  mawar  berduri. Menguntum  senyum  seceria  warna  kelopaknya.  Dalam  keadaan  bugar, aku  menarik  nafasku. Rebana  jantung  ini  semakin  kuat  bergendang. Berdemtum  bak  guruh  menyabung. Wajahnya  yang  menjadi  dambaanku  selama  ini membuatkan aku  mula  gelisah.  Dalam  naik  turun  nafas, kujunjung  namanya. Sempurna  seperti yang  diimpikan. Lengkap  sebagaimana  yang  dimimpi.  Segalanya  terserlah  ghairah  dari  setiap  segi-segi  dan  di celah-celah sudut  tubuhnya.  
Aku  mula  menyoal  akan  kekuatan  batinku. “Mampukah  aku  menguasai  permainan ini? Dan  bisakah  aku  menewaskannya  dalam  dendam  amarahku, atau  aku  yang  tewas  dek  kehebatan  caturannya?” Aku  bermonolog  sendiri  sambil  membalas  senyumnya  dan  tertib  menghulur  jabat.        
Lalu, dalam renyai hujan itu kami berlalu meninggalkan tempat jejak pertama perkenalan dan pertemuan. Melangkah ke pentas bangsawan untuk bertarung kekuatan batin yang dirasakan mesti dinikmati sepuasnya. Hujan masih renyai di luar. Seolah menghamparkan suasana manja untuk kami. Dingin dinihari tak terasa lagi. Seluruh tubuh mula panas menghaba. Geletar lututku tika jari-jemari mula menjalar mencari titik permulaan sebuah drama cinta. Malam ini milik aku, ‘dia’ dan kami. Ranjang ini terhias indah untuk sebuah kenikmatan yang menyatukan jiwa menjadi tunggal. Kamar ini merah kekuningan menghamburkan cahaya romantis untuk sebuah kemesraan. Alunan balada cinta sayup menusuk cuping telinga. Segalanya tersedia untuk sebuah pengalaman pertama dan terakhir dalam sejarah hidup aku sebagai lelaki, suami dan …dot…dot…dot…
Panas  nafasnya  membius  seribu   kedinginan  suasana.  Dapatku  rasa  mesranya  belaian  manja sebuah  cinta. Dinginnya  getaran  asmara 
Maka, hujan  yang  masih  renyai  sebentar  tadi  mulai  lebat  menyimbah  ke  bumi  tika  jam  di dinding  sudah  tepat  jam 2.46 minit  pagi.  Asmaradana  dua  tubuh  menjadi  satu  dan  mula  memberontak  wataknya.  Jika  dalam  perjalanan  sebuah  cerita, inilah  masanya  konflik  mewarnai  cerita  itu.  Dan, dalam  permainan  ini, ia  adalah  sebuah  pengembaraan  yang  ketika  ini baru  memulakan  langkah  kembaranya.  Dalam  kesesakan  nafas  yang  bergelombang, aku  masih  sempat  berdialog  sendiri.  “Inilah  yang  aku  cari, dan  cukuplah  ‘sekali ini’  dan  setakat  ini”.  Namun  kuyu  matanya  menjiwai  watak  pada  malam  itu  mematikan  monologku.  Yang  bertambah  yakinnya, aku  harus  berani  menamatkan  sebuah  cerita  yang  tak  berkronologi  ini.  Aku, ‘dia’  dan  kami  makin  hanyut.  Membelai, membuai, dan  menyemai  benih  kecelakaan   di  ranjang  serakah.  Membiarkan  nafsu  buas  mengaum.
Dayungan  cinta  sudah  jauh  ke  tengah  segara.  Di  sinilah  mula  tampak  dalam  samar-samar  sebuah  pulau  destinasi  aku  dan  ‘dia’.  Makin  deras  kocakan  ombak  semakin  memercik  keringat  tubuh. Masih  lagi  bertahan  menongkah  arus  yang  datang  menggulung.  Kepuasan  ini  hanya  tercapai  pabila  sampai  ke  destinasi  yang  dicita.  Celakanya,  ku  sangka  panas  hinggga  ke  petang  rupanya  hujan  di  tengah  hari.  “Danny…Danny…Danny…”, ada  suara  yang  menyapaku.  Malaikat  mana  yang  berani  memanggil  namaku  di  saat-saat  genting  menamatkan  percaturan  sebuah  permainan  kalah  mati  emosi.  “Hentikannya  Danny! Sudah  sampai  di  sini, istighfar  Danny……istighfar..”  Zikir  siapa  yang  menyanyikan  nama  aku?  Yang  berani  meyuruhku  memaling  belakang  mengenang  dosa  semalam?  Lalu,  tewas  aku  dek  tersentap  sapaan  itu.  Kalah  aku  sebelum  sampai  ke  puncak  sebuah  cerita  yang  konfliknya  tergantung.  Mati.  Layu  pucuk  nafsu  yang  sebentar  tadi  dipandu  keghairahan  yang  menggila.  Membabi  buta  menyondol  mangsa  tanpa  rasa  bersalah  melawan  fitrah !  Aku  tewas  dalam  pergolakan  sandiwara  ini.  
“Berdosakah  aku?”.  “Apa  itu  sebuah  kezaliman  cinta?”. Detik  hatiku.
“Astaghfirullah..”, mengucapku  panjang  dalam  indah  istighfar.  Dengan  tiba-tiba  aku  sedar  dari  kegelapan  semalam.  Rupanya  terpalit  dosa  di  sebalik  indah  cahaya  merah  kuning  lampu  kamar.  Aku  mula  sedar, mulai  tersentuh  dengan  sapaan  suara  ghaib  yang  bertasbih  menyebut  namaku.
            “Ya  Allah, apakah  taubat  aku  diterima-Mu  selama  ini?” 
            “Ya  Rabbi, berdosakah  aku  dalam  permainan  ini?”
            “Mengapa  ini  terjadi?”  Getar  suara  jiwa  kacauku. 
Berzina  aku  tanpa  disedari.  Berselingkuh  dalam  kekalutan  identiti.  Bercelaru.  Mana  tak  kelirunya,  malam  pertama  yang  harus  aku  layari  bersama   seorang   wanita  bergelar  isteri,  hancur  dek  roh  iblis  menguasai  diri.  ‘Dia’  datang  lagi.  Tapi  mengapa  malam  ini?  Mengapa  roh  jahatnya  itu  menghantui  jasad  ini, sedangkan  bukan  hanya  ‘dia’  yang  pernah  aku  layani.  Lebih  dan  banyak  lagi    yang  pernah  menemani  malam-malam   durjanaku.  Yang  pernah  membaluti  tubuhku  dalam  selimut  haram  itu. Ketika  ini, persoalan  demi  persoalan  membelenggu  akal  dan  fikiranku.    Di  dasar  tasik  hatiku  ini  sudah  bercelaru.  Hatiku  dirobek  keresahan  yang  menggerutu.  Hanya  pada  Allah  yang  maha  berkuasa   aku  bercerita.  Hanya  Allah  tuhan  empunya  dunia  yang  memahami  segala  rahsia.   Dalam  culang  caling  kegelisahan  dan  rasa  berdosa  itu, bayangan   ‘dia’  mengekoriku  sentiasa.  “Mengapa  kau  juga  yang  kurindu, walau  sudahku  tahu  payah  bersatu  hidup  denganmu?” Soalku, kecewa  dan  hampa.   “Aku  pun  tidak  tahu, apa  yang  ingin  Tuhan  tunjukkan?  Adakah  ini  dugaan-Nya?”  Ngomel  aku  lagi  dalam  seribu  keliru.
Tatkala  itu, ‘dia’   masih  terkujur  lali  dalam  mamai  yang  gemalai.  Entah  dia  merasai  ejakulasi  sebuah  permainan  ‘terlarang’  ini?  Sedangkan  aku  terkaku  murung  di  sudut  ranjang  yang  sudah  diwarnai  hitam  dosa  semalam.  Jauh  di  sudut  kepala  katil,  kujur  tubuh  itu  mula  duduk  tercongok  kebingungan. Tubuh  yang  berbalut  gebar  asmara 
Dan,  dalam  saat  gila  ini,  aku  cuba  menghimpun  kenangan  dan  menyimpul  satu  makna.  Pantas  aku  bertanya, “haruskah  aku  mencari  pada  gunung  dan  lurah  akan  liku-liku  curang  insani?”  “Apakah  jawapan  yang  akan  ku  berikan  pada  sebuah  wajah  yang  sedang  lara  kesepian?”  Ketika  itu,  wajah  yang  tercongok  tadi  mula  merah  menyala  melepaskan  titis  demi  titis  mutiara  embun  dari  lebam  kelopak  matanya.  Kesal  dia  hanya  kerana  aku  kalah  di pertengahan  jalan.  Kecewa  dia  kerana  aku  menamatkan mainan  ini  tanpa  noktah  yang  jelas.  Tapi, dia  juga  perlu   tahu  aku  juga  merasai  semua  itu.  Aku  lelaki.  Lebih  merasainya.  Masakan  tidak, dalam  pelayaran  itu,  dayungku  patah  dan  kemudiku  pecah.  Karam  sebuah  kolek  ditengah   luas  lautan  asmara 
Aku  rapat  mendapatkannya, tapi,  tak  bisa  menyentuhnya.  Terasa  jijik  diri  ini  untuk  makhluk  semulia  ‘dia’.  Daki-daki  kenangan  dulu  perlu  disamak  kembali  setelah  cucian  sebelum  ini  masih  ada  bau, rasa  dan  warna.  ‘Dia’  cuba 
Lantas,  aku  bangun  mendapatkan  satu  sudut  yang   menjauhinya.  Aku  menghayati  tiap  tutur  bicaranya  yang  tersekat  dalam  keharuan  tangisan.  Kata-kata   yang  tidak  perlu  diucapkan.  Ayat-ayat  yang  tidak  seharusnya  dilafazkan.  Aku  sedih.  Aku  telah  menganiayai  sekeping  hati  yang  halus,  tulus, mulus  dan  kudus.  “Abang,  sayang  minta  maaf  kalau  sayang  tidak  dapat  melayani  abang.  Maafkan  Suha  jika  isterimu  ini  tidak  sesempurna  yang  abang  mahukan”, luah  sang  isteri  dengan  rasa  bersalah  yang  teramat. “Ini  sahaja  yang  dapat  Suha  berikan  pada  abang  sebagai  tanggungjawab  pertama  yang  harus  dipenuhi dari  seorang  isteri  pada  suaminya”, kecewa  lagi  nadanya.
Aku  lelaki.  Aku  harus  berani  mengungkap  kebenaran  ini. tidak  ada  waktu  untuk  berselindung  lagi.  Jangan  biarkan  isteriku, Suha, terus  menghukum  dirinya,  walhal  tidak  ada  salah  dia  padaku.  Dia  perlu  tahu, dia  sempurna  melayaniku.  Tetapi  yang  kalah, tewas  dan  tersungkur  dalam  permainan  itu  adalah  aku.  Aku  hilang  kawalan  akal  yang  rasional.  Nafsuku  memberontak  dalam  keganasan  perilaku  roh  iblisku. Inilah  yang  aku  perlu  terangkan  padanya. Untuk  itu, aku mesti  berani  hadapi  sebuah  kenyataan  yang  memeritkan.  Ini  rahsia  aku, ‘dia’  dan dot…dot…dot…
Terbongkarlah  malam  itu,  sebuah  sejarah  hitam  yang  kesannya  membunuh  jiwa  tidak  berdosa.  Kisah  lelaki  yang  pernah  berazam  bertaubat  dan  akhirnya  berjaya  menjadi  pahlawan  jihad.  Menafikan  naluri  telarangnya  saat  cinta  pada  wanita  bernama  Suha  bertasbih  dan  tika  lafaz  akad  menghalalkan  mereka  bersama.  Namun, malam  pertama  bersama  wanitanya, barulah  tampak  kebenaran  dan  keikhlasan  taubatan  nasuhanya  itu.  Terungkaplah  kisah  Danny,  seorang  lelaki  yang  sempurna  di  mata  wanita. Bidang  tubuhnya  gagah  melambangkan  kejantanan  teruna.  Palitan  hitam  sejarah  lalu  mewarnai  hidupnya  yang  songsang  melayani  buakan  nafsu. Tanpa  kenal  jantan  betina  asal  puas  memuntah  rasa. Tidak  pernah  ingat  dosa  apatah  lagi  membayangkan  neraka.  Hidup  hanya  sekali, nikmati  sepenuhnya  selagi  ada  kesempatan.  Itulah  falsafah  hidup  seorang  lelaki  yang  jiwanya  berperang  mencari  identiti  diri.  Setelah  kecewa  dengan  kefanaan  cinta  sejenis  dan  terhina  itu,  setelah  tiada  lagi  nikmat  dan  hambar  dalam  setiap  percaturan  luar  tabi’i, setelah  hilang  rasa  puas  dalam  diri,  maka  dia  berazam  kembali  menemui  Ilahi.  Seingatnya, kali  terakhir  sebelum  dia  mencuci  daki-daki  kisah  lalu  serta  debu-debu  perjalanan  itu, dia  menemui  ‘semangat’  yang  benar-benar  hidup  dalam  jiwanya  hinggakan  roh  itu  menguasai  diri  tatkala  berjimak  dengan  isteri.  Roh  sebuah   permainan  terakhir  dahulu.  Roh  seorang  jantan  dayus  dan  ‘hilang  anu’.  Roh  yang  mencemari  malam  halal  menjadi  haram  dengan  dosa  dahulu….

 
5 comments:
jln citer yg best!..
i suker perkataan2 yg digunakan. jarang digunakan penulis2 baru..
syabas!!
nice stories....good job,,,,
penggunaan byk perkataan yang hiperbola n sadis membuatkan stories ni unik than other stories hav a read,,,
will be the next sasterawan negara... salam perjuangan.. daulatkan bahasa melayu kembali..
-pro-m utm-
syabas, jln cter cukup menarik. bsa membuka mata sang pembaca. mungkin boleh dbuat lagu n syair juga.
all the bez. keep it up ok...
jlan cter yg sgt menarik..myentuh hti stiap insan yg menghyati stiap bait kata yg tcatat di dlmnya..cter yg xlari dri khidupan relaiti manusia..truskn mnjadi pmbongkar cerita dlm dunia bahasamu...:)
Post a Comment