Wednesday, January 28, 2009


Pro-Mahasiswa Setuju Tubuh Kabinet
Campuran

KUALA LUMPUR 21 Januari - Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) menyambut baik kesediaan kumpulan pro-Aspirasi yang kini dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa, untuk membentuk ‘kabinet’ campuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi tahun ini.
Pengerusi pro-Mahasiswa, Norazali Zainuddin berkata ia adalah satu langkah yang baik bagi mengelakkan persengketaan sesama sendiri.


“Kita berlapang dada dengan kesediaan mereka untuk membentuk kerajaan campuran, walaupun masing-masing membawa ideologi yang berbeza,” katanya ketika dihubungi.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak berhenti bertegang urat kerana apa yang diperjuangkan adalah untuk membawa perubahan dan suara mahasiswa.
Semalam dilaporkan, Penggerak Mahasiswa bersedia memberi kerjasama kepada pro-Mahasiswa untuk menubuhkan ‘kabinet’ campuran dalam Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM) sesi kali ini.


Jurucakapnya, Wan Mohd Hasif Wan Mohd Ali dilaporkan berkata pihaknya reda dengan kegagalan kumpulannya untuk mengekalkan penguasaannya selama lima tahun dalam pilihanraya kampus kali ini.


Katanya, walaupun pihaknya mendapat 20 kerusi manakala pro-Mahasiswa pula mendapat 19 kerusi, tetapi dari segi undi popular dan penguasaan kerusi umum, ia memihak kepada lawan mereka. Calon bebas turut memenangi dua kerusi fakulti.


Pro-Mahasiswa berjaya menambah lapan lagi kerusi, berbanding11 kerusi yang dimenangi mereka sesi yang lalu.

Mengulas perkara tersebut, Norazali juga mengesahkan salah seorang calon umumnya, Mohd Ridzuan Mohamad telah dihubungi Wan Mohd Hasif yang menyatakan kesediaan mereka untuk bersama Pro-Mahasiswa dan calon bebas membentuk kabinet campuran.
Bagaimanapun, kata Norazali, pihaknya masih belum menetapkan tarikh perjumpaan dengan dengan Penggerak Mahasiswa dan calon bebas berhubung pembentukan kabinet campuran itu.
Mengulas calon yang dipertua MPMUM, beliau berkata, ia akan dibincangkan dalam perjumpaan itu nanti.


“Yang pasti calon tersebut daripada calon umum Pro-Mahasiswa yang berkelayakan.
“Ini kerana undi di peringkat kerusi umum mencermin undi, sokongan dan kepercayaan keseluruhan mahasiswa,” katanya.
Dalam pilihanraya kampus kelmarin, jumlah kerusi umum yang dimenangi Pro-Mahasiswa bertambah enam kerusi lagi, berbanding dua kerusi yang dimenanginya tahun lalu.
Enam daripada lapan calon pro-Mahasiswa bagi kerusi umum, menang dengan mendapat undi lebih daripada 5,000 undi.
Menurut Norazali lagi, pihaknya kini masih menunggu dihubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).


Sehubungan itu, beliau meminta Mohd Ridzuan supaya mendesak HEP mempercepatkan pembentukan kabinet MPMUM.-malaysiakin

Saturday, January 17, 2009

Pas rampas Parlimen Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pas merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) apabila calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut, menang dengan majoriti 2,631 undi.



Abdul Wahid yang juga Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu memperoleh 32,883 undi menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, mendapat 30,252 undi manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, hanya menerima 193undi, sekali gus hilang deposit.



Undi rosak pula sebanyak 665 undi manakala peratusan keluar mengundi ialah 79.73 peratus atau 63,967 pengundi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, di Stadium Negeri jam 9.30 malam tadi.



Sebanyak 144 saluran di 36 pusat pembuangan undi dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup jam 5 petang bagi membolehkan 80,229 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki (IAB), Genting Highlands, 28 November lalu.



Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, Allahyarham Razali menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.



sumber; berita harian online

Saturday, January 3, 2009

siapa anti hudud ?

Apabila membicarakan soal hukum hudud, bererti kita akan membicarakan suatu hukum yang diturunkan oleh Allah bukan hukum yang dicipta oleh manusia. Apabila hukum itu diperintahkan oleh Allah, maka sebagai hambanya tidak wajar kita mempermain atau mempersenda hukum tersebut, apatah lagi kita menentang hukum tersebut walau dengan apa cara sekali pun. Isu berkaitan hudud ini bukan baru bagi Parti PAS, justeru bagi PAS hukum ini adalah antara beberapa hukum yang akan terus diperjuangkan oleh PAS sehingga hari kiamat.Hukum hudud juga bukan asing bagi UMNO mendengarnya. UMNO ialah parti Melayu yang berjuang atas dasar kebangsaan, maka sebab itu UMNO tidak berminat untuk membicarakan soal hukum ini. Apabila pemimpin PAS bersuara tentang hukum hudud ini, UMNO akan mengambil kesempatan ini bukan untuk membantu merealisasikannya, bahkan akan mencari jalan untuk menunjukkan kepada rakyat betapa hukum ini akan ditolak. Maka, UMNO akan mengambil dalil beberapa kenyataan pemimpin Non Muslim daripada parti-parti politik sekutunya atau pun yang sekutu dengan PAS. Apakah tujuan UMNO ini ? Tujuannya hanya satu, iaitu bagi mempastikan PAS akan menempuh jalan yang getir dan sukar untuk melaksanakan hukum Allah ini. Tetapi benarkah PAS akan menyerah kalah? Sudah tentu tidak, PAS bukan terdesak untuk menjual maruah dan prinsip Islamnya semata-mata untuk menyenangkan hati perut UMNO.


Apa yang nyata, musuh utama dan penghalang utama bagi PAS untuk melaksanakan hukum hudud ini ialah UMNO. Walaupun DAP, MCA, Gerakan atau MIC secara terang-terangan menentang hukum hudud ini, tetapi PAS tidak pernah menganggap pemimpin-pemimpin yang Non Muslim dalam parti tersebut sebagai penghalang atau musuh utama bagi PAS. Pas lebih awal kenal siapa musuh Islam yang hakiki. UMNO lebih kuat menentang hudud melalui kuasa yang ada padanya sekarang. DAP contohnya, hanya mengeluarkan pendapat menentang hukum Allah ini, tetapi UMNO lebih rakus dan zalim sehingga menggunakan kuasa dan undang-undang manusia untuk menentang undang-undang Allah. Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS menjadi mangsa kerakusan tersebut. Negeri Terengganu walau sepenggal diperintah oleh PAS suatu ketika, sedetik pun tidak dibenarkan melaksanakan hukum Islam ini hinggakan ugutan dibuat bahawa pihak Polis, pihak Keselamatan dan pihak Penjara tidak akan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Terengganu di bawah PAS waktu itu sekiranya hukum Hudud dilaksanakan.Di Negeri Kelantan, usaha dari pemimpin UMNO (kini telah dipecat) membawa kes ini ke Mahkamah untuk menyaman Kerajaan Kelantan yang ingin melaksanakan hukum Islam ini sebagai bukti betapa UMNO terlalu anti dengan hukum hudud ini. Jelaslah, UMNO sebenarnya yang begitu agresif menentang hukum Islam ini bukannya pihak lain.UMNO tidak perlu menuding jari kepada PAS, DAP atau PKR di atas isu ini. Mereka perlu bertanya kepada diri mereka sendiri secara jujur dan ikhlas. Jika PAS mempunyai cita-cita dan usaha ke arah melaksanakan perintah Allah tersebut, adakah mereka (UMNO) mempunyai cita-cita dan usaha ke arah itu ? Jika jawapannya tidak, mereka sendiri telah menempatkan diri mereka ke dalam golongan atau kumpulan yang sama dengan golongan yang Non Muslim itu. Jika UMNO benar-benar ikhlas untuk mendaulatkan Islam, mereka yang kini tunjang kepada Kerajaan Pusat sekurang-kurang berani mengusulkan di Parlimen untuk meminda Perlembagaan agar Hukum Islam termasuk hukum syariah, hudud dan Qisas dapat dilaksanakan. Kita yakin seratus peratus, jika usul ini dibawa sudah tentu ianya akan disokong oleh semua MP dari PAS, dan tidak mustahil ada juga MP-MP dari DAP, PKR, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti akan turut menyokong. InsyaALLAH bukan semua pemimpin dari parti tersebut menolak hukum ini. Masalahnya, beranikah UMNO berbuat demikian ? Sudah tentu tidak, kerana dalam Perhimpunan Agung parti mereka sendiri mereka langsung tidak membicarakan soal ini, masakan mereka berupaya untuk membicarakan soal ini di dalam perhimpunan yang lebih luas.Justeru, apabila UMNO sememangnya tidak berminat untuk membicarakan soal hukum Islam ini, usaha PAS hendaklah diteruskan sehinggalah Hukum Hudud ini dapat dilaksanakan walaupun mengambil masa beribu tahun lagi. Almarhum Ustaz Fadzil Noor meninggal dunia tanpa dapat melihat hukum ini terlaksana walaupun beliau telah berjuang sepanjang hayatnya. Saya mencadangkan agar pimpinan Pakatan Rakyat agar dapat mengadakan ..Seminar' atau ..bengkel' kepada semua ADUN dan MP dari Pakatan Rakyat bagi memperjelaskan lebih terperinci berkaitan hukum Islam ini. Program ini hendaklah berterusan dan Ulama-Ulama dari PAS, ABIM, Persatuan Ulama Malaysia, Pendakwah Bebas atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan dalam bidang ini untuk menjadi tenaga pengajar atau penceramah. Apabila program ini dapat dilaksanakan, kita akan dapat mengenalpasti mengapa dan kenapa mereka-mereka ini menentang Hukum Hudud tersebut. Apa yang saya sarankan ini adalah sejajar dengan kehendak MB Selangor baru-baru ini yang lebih suka peranan ini dimainkan oleh PAS yang mempunyai aset dan kredibiliti membicarakan isu ini.Tidak mustahil suatu masa nanti, pemimpin-pemimpin dari DAP, MCA, Gerakan. MIC dan lain-lain yang terdiri dari Non Muslim akan lebih awal menerima hukum hudud daripada pemimpin UMNO. Kita merancang, Allah yang akan menentukan. Akhirnya, UMNO akan terkubur sebagaimana Parti Komunis Malaya juga telah berkubur di dalam lipatan sejarah.

Thursday, January 1, 2009

Wahid Endut calon Pas K. Terengganu


Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (kiri) mengangkat tangan Mohd. Abdul Wahid Endut di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, malam tadi.


KUALA TERENGGANU 1 Jan. – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Mohd. Abdul Wahid Endut dinamakan sebagai calon Pas untuk Pilihan Raya Kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, hari ini.

Pengumuman dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 8,000 penyokong Pas di Stadium Negeri di sini, malam ini.

Hadi berkata, beliau sendiri yang memilih Mohd. Wahid, 52, yang menjadi ADUN Wakaf Mempelam sejak 1990 dan ia mendapat restu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Menurutnya, dalam pemilihan calon itu, beliau mendapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk mengadakan isytisyarah (pandangan daripada orang ramai) dan istiqarah (sembahyang dan minta petunjuk).

“Sangat susah pilih calon Pas kerana calon-calon yang diketengahkan semuanya baik-baik... tiada rasuah, tiada politk wang dan tiada penyelewengan politik,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat pengumuman itu, Abdul Hadi berkata, Mohd. Abdul Wahid yang juga Bendahari Pas negeri dipilih berdasarkan kepada ketokohannya sebagai ADUN Wakaf Mempelam selama lima penggal.

Katanya, sebagai Exco Pembangunan Usahawan dan Belia Negeri semasa Pas memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2003, Mohd. Abdul Wahid dilihat mampu menarik sokongan pengundi dari setiap lapisan masyarakat.



sumber: utusanmalaysia,2januari2009