Saturday, January 3, 2009

siapa anti hudud ?

Apabila membicarakan soal hukum hudud, bererti kita akan membicarakan suatu hukum yang diturunkan oleh Allah bukan hukum yang dicipta oleh manusia. Apabila hukum itu diperintahkan oleh Allah, maka sebagai hambanya tidak wajar kita mempermain atau mempersenda hukum tersebut, apatah lagi kita menentang hukum tersebut walau dengan apa cara sekali pun. Isu berkaitan hudud ini bukan baru bagi Parti PAS, justeru bagi PAS hukum ini adalah antara beberapa hukum yang akan terus diperjuangkan oleh PAS sehingga hari kiamat.Hukum hudud juga bukan asing bagi UMNO mendengarnya. UMNO ialah parti Melayu yang berjuang atas dasar kebangsaan, maka sebab itu UMNO tidak berminat untuk membicarakan soal hukum ini. Apabila pemimpin PAS bersuara tentang hukum hudud ini, UMNO akan mengambil kesempatan ini bukan untuk membantu merealisasikannya, bahkan akan mencari jalan untuk menunjukkan kepada rakyat betapa hukum ini akan ditolak. Maka, UMNO akan mengambil dalil beberapa kenyataan pemimpin Non Muslim daripada parti-parti politik sekutunya atau pun yang sekutu dengan PAS. Apakah tujuan UMNO ini ? Tujuannya hanya satu, iaitu bagi mempastikan PAS akan menempuh jalan yang getir dan sukar untuk melaksanakan hukum Allah ini. Tetapi benarkah PAS akan menyerah kalah? Sudah tentu tidak, PAS bukan terdesak untuk menjual maruah dan prinsip Islamnya semata-mata untuk menyenangkan hati perut UMNO.


Apa yang nyata, musuh utama dan penghalang utama bagi PAS untuk melaksanakan hukum hudud ini ialah UMNO. Walaupun DAP, MCA, Gerakan atau MIC secara terang-terangan menentang hukum hudud ini, tetapi PAS tidak pernah menganggap pemimpin-pemimpin yang Non Muslim dalam parti tersebut sebagai penghalang atau musuh utama bagi PAS. Pas lebih awal kenal siapa musuh Islam yang hakiki. UMNO lebih kuat menentang hudud melalui kuasa yang ada padanya sekarang. DAP contohnya, hanya mengeluarkan pendapat menentang hukum Allah ini, tetapi UMNO lebih rakus dan zalim sehingga menggunakan kuasa dan undang-undang manusia untuk menentang undang-undang Allah. Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS menjadi mangsa kerakusan tersebut. Negeri Terengganu walau sepenggal diperintah oleh PAS suatu ketika, sedetik pun tidak dibenarkan melaksanakan hukum Islam ini hinggakan ugutan dibuat bahawa pihak Polis, pihak Keselamatan dan pihak Penjara tidak akan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Terengganu di bawah PAS waktu itu sekiranya hukum Hudud dilaksanakan.Di Negeri Kelantan, usaha dari pemimpin UMNO (kini telah dipecat) membawa kes ini ke Mahkamah untuk menyaman Kerajaan Kelantan yang ingin melaksanakan hukum Islam ini sebagai bukti betapa UMNO terlalu anti dengan hukum hudud ini. Jelaslah, UMNO sebenarnya yang begitu agresif menentang hukum Islam ini bukannya pihak lain.UMNO tidak perlu menuding jari kepada PAS, DAP atau PKR di atas isu ini. Mereka perlu bertanya kepada diri mereka sendiri secara jujur dan ikhlas. Jika PAS mempunyai cita-cita dan usaha ke arah melaksanakan perintah Allah tersebut, adakah mereka (UMNO) mempunyai cita-cita dan usaha ke arah itu ? Jika jawapannya tidak, mereka sendiri telah menempatkan diri mereka ke dalam golongan atau kumpulan yang sama dengan golongan yang Non Muslim itu. Jika UMNO benar-benar ikhlas untuk mendaulatkan Islam, mereka yang kini tunjang kepada Kerajaan Pusat sekurang-kurang berani mengusulkan di Parlimen untuk meminda Perlembagaan agar Hukum Islam termasuk hukum syariah, hudud dan Qisas dapat dilaksanakan. Kita yakin seratus peratus, jika usul ini dibawa sudah tentu ianya akan disokong oleh semua MP dari PAS, dan tidak mustahil ada juga MP-MP dari DAP, PKR, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti akan turut menyokong. InsyaALLAH bukan semua pemimpin dari parti tersebut menolak hukum ini. Masalahnya, beranikah UMNO berbuat demikian ? Sudah tentu tidak, kerana dalam Perhimpunan Agung parti mereka sendiri mereka langsung tidak membicarakan soal ini, masakan mereka berupaya untuk membicarakan soal ini di dalam perhimpunan yang lebih luas.Justeru, apabila UMNO sememangnya tidak berminat untuk membicarakan soal hukum Islam ini, usaha PAS hendaklah diteruskan sehinggalah Hukum Hudud ini dapat dilaksanakan walaupun mengambil masa beribu tahun lagi. Almarhum Ustaz Fadzil Noor meninggal dunia tanpa dapat melihat hukum ini terlaksana walaupun beliau telah berjuang sepanjang hayatnya. Saya mencadangkan agar pimpinan Pakatan Rakyat agar dapat mengadakan ..Seminar' atau ..bengkel' kepada semua ADUN dan MP dari Pakatan Rakyat bagi memperjelaskan lebih terperinci berkaitan hukum Islam ini. Program ini hendaklah berterusan dan Ulama-Ulama dari PAS, ABIM, Persatuan Ulama Malaysia, Pendakwah Bebas atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan dalam bidang ini untuk menjadi tenaga pengajar atau penceramah. Apabila program ini dapat dilaksanakan, kita akan dapat mengenalpasti mengapa dan kenapa mereka-mereka ini menentang Hukum Hudud tersebut. Apa yang saya sarankan ini adalah sejajar dengan kehendak MB Selangor baru-baru ini yang lebih suka peranan ini dimainkan oleh PAS yang mempunyai aset dan kredibiliti membicarakan isu ini.Tidak mustahil suatu masa nanti, pemimpin-pemimpin dari DAP, MCA, Gerakan. MIC dan lain-lain yang terdiri dari Non Muslim akan lebih awal menerima hukum hudud daripada pemimpin UMNO. Kita merancang, Allah yang akan menentukan. Akhirnya, UMNO akan terkubur sebagaimana Parti Komunis Malaya juga telah berkubur di dalam lipatan sejarah.

No comments: