Monday, July 27, 2009

sunyi menjelang aidilfitri


alhamdulillah...

Saat aku coretkan bingkisan ini, sudahpun kita (umat islam) menempuh sya'ban.
Semoga dengan langkah yang tak seberapa lagi kita akan bertemu ramadan dengan selamat..insyaALLAH. Namun, belum lagi sinar ramadan berkunjung tiba, sayu hati mula terasa.. dingin dan sendu membalut kalbu..

Aku peminatnya..setiap kali tibanya puasa.. aku nantikan kehadiran buah tangannya di skrin televisyen yang diterbitkan oleh sebuah stesen tv ternama negara. Sentuhannya unik...penuh moral, dan mencabar pemikiran hati. Ada sesuatu yang ingin disampaikan...biar cuma dengan patah kata tanya, .. 'burung apa?' 'burung murai !'....'burung apa?', 'burung murai!'.....

Dia.. aku kenali juga melalui hadiah hari kebangsaan untuk seluruh rakyat Malaysia.. yang sedih nya lagi, sambutan kemerdekaan negara akan disambut dalam bulan ramadan.. bukan sedih sebab tak dapat sambut dengan hiburan yang melampau.. namun buah tangan dan hadiahnya tak akan aku rasai, hadiah raya mahupun merdeka..... kerna begitu sinonimnya dia dengan merdeka dan raya...
Kali ini di bulan ramadan dan hari kebangsaan yang akan datang kita pula berikan dia buah tangan dan hadiah... AL-FATIHAH.

Semasa hayatnya, beliau diburu kontroversi yang melampau sehingga berbau makian dan cacian.. sindiran keras dari sahabat perjuangan dan mereka yang buta hati menilai... hari ini sesudah beliau menghadap ILAHI manis pujian dilemparkan padanya... Begitulah realiti hidup manusia.. ketika ada tak dipandang walau sebelah mata namun sudah tiada baru nak mengenang jasa dan pengorbanan...

Biar singkat hidupnya dilayar perak sebagai 'pencemar budaya', namun hasil kerahan minda dan tenaganya, cukup membanggakan berbanding mereka yang sudah bergelar jutawan drama filem, malah mempunyai produksi yang gah nama dengan puluhan drama filem sepanjang tahun yang langsung tak berbunga hasil karnya mereka..

Biarlah beliau dengan 2 3 buah filem cuma, namun kesannya mengangkat nama negara, bangsa dan agama daripada 4 5 ratus filem yang hanya memomokkan pemikiran bangsa, negara dan agama. Itulah dia... yang aku minati..kagumi..dan sanjungi..

Semoga ramadan dan kemerdekaan kali ini kita hayati dan kenangi beliau sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, iklan drama mahupun perfileman negara.. dia....

rabun, sepet, gubra, mukhsin, muallaf dan talentime..
takziah atas pemergian beliau..
ALLAHYARHAM YASMIN AHMAD..
AL-FATIHAH

Thursday, July 23, 2009

Perbezaan PAS dan UMNO ...


Masalah PAS dan UMNO bukan masalah berapa bilangan masjid yang dibina, bukan berapa bilangan sekolah agama yang dibina, bukan masalah institusi kewangan Islam, bukan masalah berapa buah pusat pengajian tinggi Islam yang dibina, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk membina lapangan terbang, lebuh raya dan lain-lain, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk pendidikan tinggi dan rendah yang dibelanjakan oleh UMNO atau PAS.


Masalah antara UMNO dan PAS ialah dasar dan matlamat pejuangan yang jauh berbeza. PAS memperjuangkan agar Islam menjadi aqidah Negara Malaysia, samada dari sudut pentadbirannya atau kehakimannya dan lain-lain. Pendek kata, apa yang terkandung didalam dua kalimah syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH, Nabi Muhammad S.A.W pesuruh ALLAH itu hendaklah terlaksana dalam kehidupan individu, masyarakat dan Negara.


Adapun pun UMNO sering mencabar tuntutan dua kalimah syahadah itu. UMNO kelihatan melakukan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan puasa bulan ramadhan, mengerjakan haji, menjalankan aktiviti nikah kahwin mengikut Islam. Tetapi pentadbiran dan pemeritahan Negara mencabar Quran dan Sunnah. Sebab itu, dengan rasa senang hatinya, UMNO yang menjadi teras kepimpinan Negara, terang-terang menolak hukum ALLAH didalam bidang pentadbiran, kehakiman, perundangan, pendidikan dan lain-lain.


Oleh kerana itu, Malaysia yang sejak merdeka, yang dipimpin oleh UMNO dan Barisan Nasional menghadapi masalah yang tidak terhitung banyaknya. Masalah keselamatan, janayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, rompakan kecil atau besar, rompakan institusi kewangan, rompakan kaum wanita, warga emas dan kecurian disetiap detik berlaku dinegara ini.


Setelah lebih 50 tahun UMNO memerintah, Islam dan kekuatan orang Melayu terhakis. UMNO menghapus “kuasa imuniti Raja-Raja” yang menjadi salah satu kekuatan institusi Islam di Malaysia. UMNO membenarkan “Riddah” atau murtad berleluasa. UMNO juga mengamalkan budaya “Hendonisme” budaya “akhlak bobrok” melalui agensi-agensi penyiarannya.


Isu penyalahgunaan dadah, isu mat rempit, isu pendatang tanpa izin, isu ISA, ini semua berlaku selepas Malaysia dipimpin oleh UMNO. Puncanya ialah tidak menhayati kandungan ‘LA ILAHA ILLA ALLAH’. Oleh itu, jika pemimpin UMNO masih mengaku mempertuhankan ALLAH, menabikan Muhammad S.A.W, kenapa UMNO boleh sembahyang mengikut ajaran Islam, mengapa tidak boleh mengikut Islam dalam memerintah Negara? Adakah UMNO mengambil konsep beriman separuh kitab dan menolak separuh yang lain.


Kalau hanya bercakap membina masjid, di United Kingdom ada masjid, di Amerika Syarikat ada masjid, di Cina ada masjid, di Singapore ada masjid, di German pun ada masjid. Namun pentadbiran Negara mereka juga tidak mengikut ajaran islam. Oleh kerana itu, status kedudukan pemimpin dinegara barat dan timur yang Sekular, sama dengan kedudukan pemimpin UMNO diMalaysia ini.


Oleh kerena itu, saya rasa amat bertanggungjawab untuk menasihat kepada umat Islam di Malaysia ini, supaya jangan terjebak dengan kenyataan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO khususnya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika berkempen di Manek Urai baru-baru ini (rujuk salah satu akhbar harian Malaysia) tentang UMNO membela Islam dan menegakkan syiar Islam.


Secara peribadi pula, sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, beliau telah mengubah cuti am pada hari Jumaat kepada hari Ahad, sekaligus menjadikan amalan cuti itu seperti amalan orang-orang Nasrani. Apakah ini satu pembelaan terhadap Islam?


Saya ingin membuat contoh yang kecil tentang UMNO mencabar Al-Quran. Antaranya, Al-Quran dengan jelas dan terang mengarahkan supaya orang islam menjauhkan diri daripada arak, judi, berhala, sudi nasib atau tenung nasib, tetapi UMNO yang memimpin Malaysia mengeluarkan lesen arak, memberi lesen judi. Apakah ini satu pembelaan kepada Islam? Untuk satu contoh lain, umpamanya ALLAH memerintah supaya Negara ditadbir dengan ajaran ALLAH, namun UMNO menolaknya.


Oleh kerana itu, jika sekiranya masih wujud benih-benin iman di dalam hati para pemimpin UMNO, maka saya merayu kepada mereka dan kepada orang yang seiringan dengan mereka supaya mereka bertaubat dan kembali kepada jalan ALLAH. Sekiranya mereka mempunyai masalah didalam usaha kembali kepada jalan ALLAH itu, maka Dewan Ulamak PAS Pusat menawar diri untuk memberi khidmat bakti kepada mereka.

sumber>
Dato’ Haji Harun Bin Taib
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Sunday, July 12, 2009

Pemansuhan PPSMI (kemenengan rakyat marhain)

Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengalu-alukan tindakan pihak kerajaan memansuhkan dasar PPSMI yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran sejak dari tahun 2003. Tindakan pemansuhan ini adalah juga hasil dari kempen berterusan dan perjuangan yang dilakukan oleh pihak pejuang bahasa, pakar pendidikan, pengkaji, ibubapa pelajar, badan-badan bukan kerajaan (NGO), parti politik seperti PAS dan pelbagai lapisan masyarakat.

Keputusan pemansuhan ini dilaksanakan setelah ratusan juta wang rakyat dihabiskan untuk melaksanakan satu dasar yang tidak mengalami proses kajian dan perbahasan yang teliti, disamping ianya adalah merupakan satu ujikaji yang akhirnya mendatangkan kesan yang buruk
kepada generasi anak-anak. Para pengkaji dan ibubapa juga sebenarnya telah menilai prestasi pelajar dan jurang pencapaian matapelajaran Sains dan Matematik yang semakin melebar di antara pelajar luar bandar dan di kawasan kosmopolitan.

Selain dari penekanan Bahasa Inggeris oleh pihak kerajaan, PAS juga berpendapat bahawa bahasa-bahasa ibunda yang lain juga perlu diberi ruang yang secukupnya untuk dipelajari oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

PAS juga menyeru pihak kerajaan supaya memperbetulkan kesilapan lalu apabila pihak kerajaan pimpinan UMNO juga meneruskan sistem yang melemahkan Bahasa Melayu dan peranannya dalam ilmu sejak beberapa dekad yang lalu apabila digubal Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Tindakan ini sangat memalukan kerana rakan-rakan kita kaum Cina dan India dapat mempertahankan tulisan dan bahasa masing-masing, sedangkan tulisan jawi Bahasa Melayu dipinggirkan oleh dasar yang digubal oleh UMNO sendiri. Oleh yang demikian, penggunaan bahasa melayu bertulisan jawi juga mestilah diperkenalkan semua.

PAS berpendapat bahawa episod ini menyerlahkan beberapa kepincangan dalam pengenalan dasar dan pelaksanaan oleh kepimpinan negara.

Pertama, dasar yang sebegini besar dan melibatkan beberapa generasi pelajar khususnya, seharusnya melalui proses kajian dan perbahasan yang lebih mendalam sebelum ianya dapat dilaksanakan. Ianya bukan sahaja melibatkan perbelanjaan yang menjangkau ratusan juta ringgit, tetapi juga telah menjadikan pelajar sebagai satu objek ujikaji dengan membuat dasar berpandukan kepada pandangan satu dua orang pemimpin negara semata-mata. Dalam hal ini juga, pihak kerajaan hanya memandang sepi dan menunjukkan sikap berdegil terhadap semua pandangan yang mempertikaikan keberkesanan PPSMI di awal pengenalannya. Kedua, pihak kerajaan tidak mempunyai satu mekanisme yang cekap dalam membuat penilaian segera terhadap pengenalan dasar ini, terutamanya dari segi keberkesanan dan juga audit perbelanjaan peruntukan yang telah dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Seluruh episod ini sebenarnya menyebabkan kita juga berhak mempersoalkan kewajaran dasar-dasar besar yang lain, samada telah melalui proses-proses yang ketat sebelum ianya diperkenalkan.



Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS